
WORLD Pickleball Championship (WPC) Grand Slam Malaysia 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada Ahad menyaksikan pelbagai atlet dengan latar belakang berbeza menyertai kejohanan berkenaaan.
Dari bekas atlet profesional sukan raket seperti tenis dan squash kepada penyanyi terkenal tanah air, masing-masing melibatkan diri dalam kejohanan yang berlangsung di The Pickel Grouds, Petaling Jaya, Selangor itu.
Antara salah seorang peserta menarik perhatian ialah ahli kumpulan De Fam, Nurshazwani Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Cik Manggis yang difahamkan menyertai empat kategori.
BACA LAGI: [VIDEO] Atlet pickleball Indonesia akui Malaysia lebih 'hype', pasang impian lawan anak jati Sabah
BACA LAGI: Pickleball bakal debut di Sukma Selangor?
Cik Manggis menyertai kategori Women's Single, Women's Double 19 Intermediate, Women's Double 35 Intermediate dan Mixed Doubles Intermediate 35 bersama suami dalam kejohanan berkenaan.
Penyanyi berusia 36 tahun berkenaan berkongsi pengalaman uniknya bermain sukan pickleball bersama suaminya iaitu Syazmin Firdaus Aminuddin yang turut membawa cabaran tersendiri dalam hubungan mereka.
Tidak dinafikan bahawa dia dan suaminya memang kerap berlatih bersama, menunjukkan keserasian yang baik dalam sukan tersebut tetapi bermain pickleball dalam kategori beregu campuran (mixed doubles) sebenarnya sangat mencabar buat pasangan suami isteri.
"Sebenarnya pickleball adalah sukan yang agak mencabar untuk suami isteri, terutama dalam mixed doubles. Ramai yang kata pasangan suami isteri susah nak main bersama walaupun mereka sudah kenal sangat lama.
"Dan kita sudah ada argument sendiri dalam hubungan. Bila bermain bersama, kadang-kadang kita boleh bergaduh sikit," katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas perlawanan Women's Double 19 Intermediate pada Ahad.
Menurutnya, pertengkaran mereka biasanya akan berlaku di dalam kereta selepas perlawanan, namun ia tidak berlarutan lama dengan masing-masing juga menganggap ia hanya isu kecil pasal pickleball.
"Kami anggap ia sebahagian daripada sukan. Dalam sukan, kita memang kena ada perasaan itu. Marah. Rasa kecewa. Kalau kalah tapi tak rasa kecewa itu bermakna kita tiada sportsmanship.
"Kadang-kadang, bila rasa kecewa, kami akan bercakap antara satu sama lain. Kami bagi ruang kepada sesiapa yang nak lepaskan rasa kecewa mereka. Tapi pada akhirnya, kami selalu cakap, ia cuma pickleball.
"Rugi sangat kalau kita nak bergaduh sampai teruk. Padahal ia cuma tentang pickleball, bukan tentang curang atau apa-apa yang serius. Cuma pickleball saja. Tak perlu gaduh sangat. Jadi sebab itu kami lama-kelamaan lebih faham antara satu sama lain,
"Benda ini bukan bergaduh pun, lebih kepada merajuk saja. Biasanya masa dalam kereta. Selalu dalam kereta akan gaduh tapi sebelum tidur, akan berbaik semula. Esoknya terus nak main sama-sama lagi," kongsinya.
Dalam pada itu, Cik Manggis berkongsi minatnya terhadap pickleball yang mula diceburi selepas diperkenalkan oleh rakannya pada Oktober 2024.
Meskipun tidak pernah bermain secara profesional dalam sukan raket, Cik Manggis tidak mengambil masa lama menyesuaikan diri kerana latar belakang atletiknya sebagai pelari pecut dan lompat jauh.
"Bagi saya sebenarnya permainan ini sangat mudah untuk disesuaikan. Tapi pada satu tahap apabila saya tengok semua pemain profesional bermain, susah untuk menguasai pickleball.
"Tapi saya suka sukan ini kerana ia menyatukan pemain daripada pelbagai latar belakang, dan saya terinspirasi bila tengok seorang pakcik umur 60-an bermain dengan sangat baik,” jelasnya.
Cik Manggis kini giat berlatih dengan beberapa jurulatih ternama dan sering menyertai pelbagai kejohanan, sekali gus menaikkan semangatnya dalam sukan ini. Dia juga aktif dalam kelab Epic KL, yang menjadi platform bagi dirinya dan pasukannya menyertai pertandingan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram