[VIDEO] De Fam masih no.1, Cik Manggis akui ada sasaran sendiri dalam pickleball


  • Podium
  • Isnin, 21 Jul 2025

Cik Manggis (kiri) menegaskan bahawa kerjayanya sebagai penyanyi tetap menjadi keutamaan nombor satu.

MESKIPUN kini aktif menyertai kejohanan pickleball hampir setiap minggu, ahli kumpulan De Fam, Nurshazwani Shamsuddin menegaskan bahawa kerjayanya sebagai penyanyi tetap menjadi keutamaan nombor satu.

Nushazwani, 36, yang sudah berkecimpung dalam pickleball sejak Oktober 2024 aktif dalam kejohanan sukan berkenaan termasuk menyertai empat kategori untuk Pickleball Championship (WPC) Grand Slam Malaysia 2025.

Penyanyi yang mesra dengan sapaan Cik Manggis itu berkongsi bahawa tidak pernah mengabaikan komitmennya terhadap De Fam walaupun minatnya terhadap sukan pickleball semakin mendalam sejak kebelakangan ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Atlet pickleball Indonesia akui Malaysia lebih 'hype', pasang impian lawan anak jati Sabah

BACA LAGI: [VIDEO] Minta maaf peminat futsal, venue tukar jadi court pickleball dianggap wajar

"Saya sayang kerjaya saya. Saya sangat suka dengan apa yang saya lakukan sekarang. Pickleball bagi Manggis, ia sesuatu yang menggembirakan sebab bila saya bangun pagi, saya rasa sihat. Saya bangun dengan ada sesuatu tujuan tambahan untuk dilakukan.

"Tapi macam mana saya uruskan (antara pickleball dan karier muzik) semuanya saya beritahu pengurus. Kalau ada apa-apa, saya minta dia terus blok saja. Saya tidak akan utamakan perkara lain selain (komitmen saya terhadap) De Fam," katanya kepada Majoriti.

Menurut Cik Manggis, jika ada pertindihan antara jadual persembahan De Fam dengan kejohanan pickleball, keutamaan tetap diberikan kepada kumpulan yang telah dibinanya sejak sedekad lalu.

 

 

"Ada saja perkara yang masuk secara tiba-tiba, contohnya ada yang bertembung dengan kejohanan besar Professional Pickleball Association (PPA) baru-baru ini. Tapi saya tak masuk pun. Saya fokus pada De Fam.

"Saya dah bina De Fam selama 10 tahun. Takkan saya nak sia-siakan dengan pickleball. Pernah ada kejohanan besar bertembung dengan acara De Fam, saya tolak kejohanan tu. Sebab fokus utama tetap De Fam," ujarnya.

Meskipun sudah menempa nama dalam industri hiburan, Cik Manggis membuktikan bahawa seseorang itu tetap boleh mengejar minat lain selagi tahu keutamaan dan mampu mengurus masa dengan baik.

Dalam pada itu, Cik Manggis menegaskan bahawa walaupun aktif dalam sukan tersebut, dia tidak menyasarkan untuk menjadi pemain profesional kerana menyedari keutamaan hidupnya kini.

Cik Manggis turut mengakui bahawa banyak pemain pickleball tempatan datang daripada latar belakang sukan raket seperti tenis dan badminton sejak kecil, berbeza dengannya yang baru sahaja mula serius dalam sukan itu.

“Saya tak boleh jadikan diri saya pro player sebab saya ada karier utama. Tapi saya tetap ada sasaran, saya nak main sehabis baik dalam setiap kejohanan. Saya tak nak orang pandang saya main sekadar suka-suka atau tak serius.

“Saya dah letakkan satu tahun sebagai tempoh pembelajaran. Tahun ini saya tak target kemenangan pun. Kalau menang, itu bonus. Saya pernah juga menang beberapa kejohanan, pernah dapat tempat kedua. Tapi belum pernah jadi juara," katanya dengan nada positif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram