
SEORANG jururawat maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika dalam perjalanan ke Kuala Terenganu, Terengganu pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa iaitu Roslinawati Ramli, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal milik suaminya memulakan perjalanan dari Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 1 pagi Jumaat sebelum kemalangan berlaku sekitar tengah hari.
BACA LAGI: [VIDEO] Himpunan ‘RXZ Members’ dilabel ikut iblis, tak ramai sedar ada elemen tarbiah
“Mangsa yang berasal dari Felda Tementi, Triang, Pahang, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi memetik laporan The Star.
Sharudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemergian ibu kepada dua anak berkenaan ternyata meninggalkan kesan mendalam buat rakan-rakannya.
Menerusi perkongsian di TikTok, pengguna akaun Farawaniey87 mendedahkan arwah yang mesra disapa Eyna merupakan seorang yang pemurah serta gemar berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.
"Video terakhir arwah... ALLAH Eyna, macam tidak percaya. Lepas ini tiada sudah orang yang nak tolong ambil barang di JPO (Johor Premium Outlets). Biasanya kalau ada barang di JPO, dia akan tolong ambil dan kami kongsi rezeki," tulisnya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan peserta program RXZ Members 7.0 supaya lebih berhati-hati dan menunggang dengan cermat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Program RXZ Members 7.0 2025 akan diadakan di Litar Permotoran Gong Badak pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram