Malaysia rumah kedua saya, Gabriel Palmero lahir dari akademi hebat Sepanyol — Ramon Marcote


  • Podium
  • Khamis, 20 Mac 2025

Hevel (kiri) dan Gabriel (kanan) antara dua pemain warisan baharu Harimau Malaya.

KEHADIRAN dua bintang baharu, Hector Hevel (Belanda) dan Gabriel Palmero (Sepanyol) ke dalam skuad kebangsaan telah menamatkan penantian seluruh penyokong Harimau Malaya yang berteka-teki akan siapakah calon pemain warisan yang dinyatakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Januari lalu.

Meskipun dua pemain warisan itu tidaklah beraksi di liga tertinggi di Eropah, namun kehadiran mereka ke dalam skuad kebangsaan pastinya bakal memberikan sesuatu yang baharu buat bola sepak kebangsaan.

Hevel yang beraksi di posisi tengah menyerang dijangka memperkuatkan barisan serangan Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Nepal pada 25 Mac nanti.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari Colombia ke Selangor, Neyder Moreno calon sesuai ganti Yohandry Orozco

BACA LAGI: Kehadiran Cristian Abad hanya timba pengalaman, Cklamovski belum pilih siapa kapten Harimau Malaya

Sebelum ini, menurut pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski bakal ada tiga pemain warisan baharu yang akan memperkuatkan skuad kebangsaan dan seorang lagi calon dikaitkan ialah Jon Irazabal.

Namun sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi mengenai pemain warisan terakhir itu.

Melihat situasi yang berlaku di dalam kem kebangsaan, bekas jurulatih Selangor, Ramon Marcote berpandangan mereka mampu menyumbang sesuatu buat Harimau Malaya.

"Saya ingin mengatakan sesuatu, tetapi saya tidak mengenali para pemain tersebut dan tidak pernah melihat pemain Sepanyol atau pemain Belanda itu bermain.

"Saya rasa jika para pemimpin bola sepak Malaysia telah memutuskan untuk memanggil pemain-pemain itu ke pasukan kebangsaan, kerana mereka menganggap pemain-pemain itu mempunyai tahap dan kualiti yang mencukupi untuk memberi lonjakan kepada pasukan kebangsaan.

"Itulah harapan saya kerana saya merasakan pasukan Malaysia sebagai pasukan kedua saya selepas bekerja di negara anda selama tiga tahun.

"Saya berharap para pemain ini dapat menyumbang banyak kepada pasukan kebangsaan Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Bercakap mengenai Gabriel, Marcote percaya dia merupakan bakat yang baik buat Harimau Malaya kerana lahir daripada akademi yang sudah terbukti menghasilkan pemain-pemain bintang.

"Saya tidak mengenalinya (Gabriel), tetapi tahu bahawa dia berasal dari Akademi Las Palmas.

"Dia kini dipinjamkan ke Tenerife B. Kedua-dua kelab ini mempunyai sejarah yang hebat di Sepanyol.

"Ramai pemain hebat telah lahir dari kelab-kelab ini, seperti Juan Carlos Valeron, David Silva, Pedro Rodriguez, dan kini Pedri.

"Gabriel datang dari sekolah bola sepak yang baik seperti Tenerife, jadi saya berharap dia dapat menyumbang kepada pembangunan bola sepak Malaysia," ujarnya.

Sebelum ini, Cklamovski menegaskan pemain-pemain warisan yang hadir ke dalam skuad kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada Malaysia.

Beliau memberitahu ketiga-tiga pemain warisan berkenaan dilaporkan sudah melapor diri pada 31 Januari lalu dan hanya menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram