
KEKALAHAN Selangor FC di tangan Negeri Sembilan FC (NSFC), 1-2, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad mengundang kecaman dalam penyokong sendiri.
Manakan tidak, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi itu dilihat hilang rentak untuk meneruskan momentum selepas kemenangan ke atas Brunei DPMM pada 13 Ogos lalu.
Kegagalan meraih mata penuh ke atas skuad Hobin Jang Hobin juga menimbulkan persoalan terhadap kemampuan pasukan itu mencabar dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) di puncak liga.
BACA LAGI: Drama wisel pertama, Rafael Vitor kekal raja gol terpantas bersama import TFC-legenda Kelantan
BACA LAGI: Sejarah tundukkan 'skuad adik' boleh jadi modal Kuching City kejutkan JDT
Pemerhati sukan, Romy Jarr berkata, Selangor perlu lebih konsisten mengutip mata penuh berbanding hanya menumpukan misi menewaskan JDT.
“Cabaran sebenar adalah mengekalkan kemenangan walaupun dengan keputusan tipis. Selangor perlu terus mengekori JDT rapat untuk memberi tekanan hingga hujung musim.
"Memberi cabaran lebih sengit kepada JDT bukanlah soal menewaskan mereka secara langsung, tetapi tentang mengutip tiga mata secara konsisten (walaupun dengan cara yang sukar) menentang pasukan-pasukan lain dalam liga.
"Menang 1-0, 2-1, atau sekadar mengutip kemenangan tipis 1-0 secara berterusan dalam 20 perlawanan seterusnya. Terus mengejar dan mengekori rapat pendahulu liga dengan jarak 3-4 mata sehingga ke penghujung musim. Inilah caranya. Ideanya adalah untuk memberikan tekanan secara berterusan,” katanya.
Willian Lira dilihat tidak serasi dengan cara permainan Selangor FC. — Facebook Selangor FC
Rommy turut mengkritik prestasi penyerang import, Willian Lira, yang disifatkan tidak sesuai dengan sistem permainan.
“Gaya larian, kawalan bola, dan penyudahnya tidak memberi keyakinan.
"Lebih baik Selangor mendapatkan pemain tengah asing yang mampu menambah kreativiti berbanding mengekalkan penyerang yang kurang memberi impak,” katanya.
Selain itu, Romy turut mengingatkan kelemahan benteng pertahanan yang kerap bocor di penghujung perlawanan, termasuk ketika bertemu Buriram United dan Negeri Sembilan.
“Pertahanan Selangor boleh bermain baik selama 80 minit tetapi mudah hilang fokus pada 10 minit terakhir.
"Mereka perlukan dua atau tiga pertahanan tengah dan pemain tengah bertahan berpengalaman untuk mengawal tekanan lawan,” katanya.
Untuk rekod, Selangor FC kini menghuni tangga ketujuh Liga Super dengan hanya mengumpul tiga mata.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram