'Pak Long, anda terbaik di mata kami', desak majikan lepaskan feeder NS Antlers demi skuad takraw kebangsaan


  • Podium
  • Isnin, 07 Jul 2025

Antara aksi Zuleffendi ketika final Negeri Sembilan Antlers menentang Johor Tigris pada Ahad. — Facebook/STL

NEGERI Sembilan Antlers menunjukkan kebangkitan hebat selepas berjaya merangkul kejuaraan minggu kedua Premier Liga Sepak Takraw (STL) 2025 pada Grand Prix (GP) Negeri Sembilan pada Ahad.

Selepas mengalami kekalahan awal di GP Terengganu, skuad kendalian Shahir Nasrudin tampil cemerlang dengan mencatat kemenangan penuh tanpa sebarang kekalahan di gelanggang sendiri.

Walaupun berdepan juara bertahan Melaka Titans dalam kumpulan yang sama, semangat juang tinggi Antlers menjadikan mereka kuasa dominan dengan meraih semua kemenangan dalam perlawanan di N9 Arena, Nilai.

BACA LAGI: 'Next STL', Syafiq Ahmad sasar jadi pemain takraw lepas tinggalkan Kedah?

BACA LAGI: Penglibatan sektor korporat makin luas, Hannah Yeoh bayang sepak takraw boleh berdikari beberapa tahun lagi

Dalam perlawanan akhir, regu Antlers menurunkan trio utama mereka iaitu Haziq Hairul Nizam (tekong), Zuleffendi Sumari (pengumpan) dan Hafizul Hayazi sebagai perejam untuk menundukkan Johor Tigris dengan mudah menerusi kemenangan straight set 2-0.

Kemenangan di laman sendiri itu menyaksikan Hafizul diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menunjukkan aksi luar biasa dengan libasan kuat dan pertahanan ketat yang menyekat serangan lawan.

Selain Hafizul dan Haziq yang diangkat sebagai pilihan peminat GP Negeri Sembilan, Zuleffendi iaitu apit kiri Antlers juga mencuri perhatian penyokong bola rotan hingga ramai mengharapkan agar kemahirannya dapat digunakan bersama skuad kebangsaan.

Seperti yang dikatakan pengulas sepak takraw negara iaitu Mohsen Amdan, kualiti dimiliki Zuleffendi wajar berada di kem kebangsaan bagi membantu memperkukuhkan pasukan sepak takraw tanah air.

Bagaimanapun, isu majikan pemain berkenaan yang tidak melepaskannya beraksi untuk Malaysia didakwa merupakan sebab Zuleffendi masih tidak pernah menyarung jersi kebangsaan sehingga kini.

"Kepada majikan Zuleffendi Sumari. Maafkan saya kerana tidak tahu secara tepat unit atau jabatannya. Cuma setahu saya Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah.

"Saya mewakili rakyat dan peminat sepaktakraw secara amnya secara terbuka ingin merayu agar pemain apit kiri hebat ini diberikan pelepasan untuk mewakili Malaysia.

"Sesungguhnya kami tidak tahu secara tepat mengapa dia masih tidak dapat berada di dalam kem kebangsaan. Dari berita dan desas-desus yang kami dengar, ia berkaitan dengan isu pelepasan pemain.

"Walau apa pun perkaranya, kami sebagai rakyat dan peminat sangat berharap ia dapat direalisasikan. Kehadiran beliau ke skuad negara pastinya juga sebagai satu bentuk patriotisme yang menyumbang kepada manfaat Malaysia.

"Tahniah Zuleffendi a.ka. Pak Long. Anda adalah yang terbaik di mata kami," kongsi Mohsen yang merayu agar majikan Zuleffendi akan merealisasikan impian peminat bola rotan untuk menyaksikan dia bermain bersama skuad kebangsaan.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pemain skuad sepak takraw kebangsaan masih menunggu pelepasan rasmi daripada majikan masing-masing sebelum dapat menyertai latihan bersama Program Podium dalam masa terdekat.

Tiga pemain dimaksudkan termsauk Zuleffendi, tekong utama Selangor Pistons; Zuhri Muhammad Zain dan Tekong KPT-Masum, Muhammad Amar Roslan masih belum mendapat pelepasan rasmi.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkongsi bahawa proses pelepasan pemain-pemain berkenaan kini berada di peringkat akhir dan dijangka selesai dalam sedikit masa lagi. 

Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi dari majikan Zuleffendi berhubung statusnya bersama skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram