[VIDEO] Bintang bola sepak Itali tiba-tiba rebah depan ibu, maut sehari selepas ‘sign’ kontrak kelab baharu


  • Podium
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Luca Aluisi meninggal dunia beberapa jam sebelum dijadualkan menyertai sesi latihan pertama bersama kelab baharunya, ASD Castell'Azzara.

DUNIA bola sepak Itali dikejutkan dengan pemergian pemain tengah, Luca Aluisi, 30, yang meninggal dunia selepas rebah di hadapan ibunya, hanya beberapa jam sebelum dijadualkan menyertai latihan pertama bersama kelab baharunya, ASD Castell’Azzara.

Luca difahamkan tiba-tiba jatuh sakit ketika berada di rumahnya di Marta, wilayah Lazio pada Rabu sebelum tidak sedarkan diri. 

Ibunya yang berada di tempat kejadian segera menghubungi ambulans, namun pasukan perubatan gagal menyelamatkannya.

BACA LAGI : Poster Alexander Isak kemaruk nak ke Liverpool rupanya 'troll', sekadar janaan AI

BACA LAGI : Pernah dilabel lebih hebat berbanding Arif Aiman, sayangnya Messi-Neymar Malaysia 'karam' angkara cedera dan konsistensi

Pada pertengahan Jun lalu, Aluisi meraikan perpindahannya ke Castell’Azzara yang beraksi dalam saingan divisyen bawahan Itali dan sepatutnya memulakan latihan pramusim pada Rabu selepas lulus ujian perubatan.

Jurucakap kelab berkenaan dalam satu kenyataan berkata Aluisi bersedia untuk menyarung jersi kelab dan memulakan perjalanan baharu ini dengan penuh semangat. 

"Setiap sesi latihan, setiap perlawanan, setiap jaringan Luca akan sentiasa bersama kami," menurut kenyataan itu. 

Untuk rekod,  Aluisi pernah beraksi bersama beberapa pasukan tempatan termasuk Ischia di Castro dan kelab kampung halamannya, Virtus Marta.

Presiden Virtus Marta, Massimo Natali turut menyifatkan pemain itu sebagai seorang yang penuh dedikasi serta sentiasa dekat dengan masyarakat.

“Dia bersama kami sejak kecil, menunjukkan semangat dan minat mendalam terhadap bola sepak. Luca seorang pemuda baik dan peka dengan aktiviti komuniti. 

"Kenangannya akan terus hidup dalam diri kami,” katanya.

Buat masa ini, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian Luca. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram