Pakar lipat gulung Thailand 'suka bebenor' GP Perak, rasa seperti superstar main di STL


  • Podium
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Pichet membantu Kelantan menghuni kedudukan keenam liga dengan mengumpul 76 mata selepas mengharungi lima GP. — Facebook/STL

KEMPEN Liga Sepak Takraw (STL) 2025 Grand Prix (GP) Perak menutup tirainya dengan sambutan penuh meriah daripada penyokong dengan menyaksikan Perak Bison menundukkan Kelantan Warriors 2-0 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada Ahad lepas. 

Kemenangan menerusi keputusan straight set 15-11, 15-12  menyaksikan regu Perak Bison merangkul gelaran juara dan membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta piala.

Kemenangan skuad tuan rumah lebih bermakna dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang turut menyaksikan perlawanan penuh dramatik itu.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Ustaz Solihin’ turun stadium, reaksi Zul Ariffin warnai Perak Bison rangkul GP Perak

BACA LAGI: [VIDEO] Killer Perak Bison kongsi rahsia 'comeback' lepas pertarungan 98 minit menentang Penang Black Panthers

Kemeriahan perlawanan di GP Perak itu juga diakui sendiri oleh pemain import Kelantan Warriors iaitu Pichet Pansan, yang berkongsi gambar-gambar penyokog usai aksi sengit tersebut. 

Bintang sepak takraw berusia 33 tahun berasal dari Thailand berkenaan berkongsi perasaan terujanya apabila melihat kehadiran orang ramai yang menyokong sukan bola rotan itu. 

"Liga Sepak Takraw Malaysia yang sebenar, beraksi di gelanggang macam superstar," katanya menerusi laman Facebook miliknya. 

Untuk info, Pichet yang terkenal dengan teknik lipat gulung menjadi import taruhan baru Kelantan Warriors di posisi apit kanan bagi membantu menghadapi saingan STL tahun ini bersama seorang lagi import Thailand, Sukrit Wacharaburanaphong (tekong).

Pichet bergambar bersama penyokong STL di GP Perak. — Facebook/Pichet

Nama Pichet sudah sekian lama ditunggu menyertai saingan STL, hasrat peminat sepak takraw tanah air akhirnya tercapai apabila Kelantan Warriors mengumumkan khidmatnya sebagai import baharu mereka.

Selepas mengharungi lima GP, Kelantan berhasil menghuni kedudukan keenam liga usai mengumpul 76 mata dengan selepas ini, fokus pasukan itu akan diberikan sepenuhnya untuk GP Penang. 

Hasil undian GP Penang yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Balik Pulau pada 27 Ogos hingga 31 Ogos ini, Kelantan Warrios diundi bersama Penang Black Panthers dan PDRM Defenders. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram