
PENGUMUMAN mengejut Sabah FC yang melantik jurulatih baharu dari Australia, Jean-Paul sehari sebelum sepak mula aksi Liga Super 2025/2026 menentang Kuala Lumpur City FC dianggap satu keputusan drastik, namun menggambarkan keseriusan kelab itu untuk menghadapi musim baharu, kata pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli.
Menurut beliau, walaupun pertukaran jurulatih pada saat akhir jarang berlaku, apatah lagi menjelang perlawanan pertama musim baru, namun langkah Sabah FC wajar dilihat dari sudut positif sebagai satu usaha berani memperkukuh pasukan.
"Sebagai pemain dan pegawai profesional, mereka seharusnya bersedia menghadapi situasi seperti ini. Jean-Paul tentunya bukan calon sembarangan, dia pasti individu terbaik yang sempat dikenal pasti oleh pengurusan Sabah FC ketika ini," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan tutup TV dulu!', air mata bek Sabah gugur di Cheras, muncul wira lepas lama cedera
BACA LAGI: Rindu membekas di hati, duo bintang Liga Super sukar lupakan jasa kelab lama
Jean-Paul dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Sabah FC sehari sebelum sepak mula. — Facebook/Sabahfc
Tambah Pekan, reputasi Sabah FC sebagai pasukan yang konsisten dalam kelompok lima teratas Liga Super juga menuntut kehadiran jurulatih berkaliber tinggi untuk terus mencabar kejuaraan.
“Sabah FC mempunyai barisan pemain yang berkualiti. Oleh itu, mereka juga perlukan ketua jurulatih yang mampu membawa impak besar. Sudah tentu mereka mengharapkan Jean-Paul dapat membawa perubahan positif, walaupun dalam masa singkat itu ia bukan tugas mudah,” jelasnya.
Namun, katanya, waktu pelantikan itu tetap mengejutkan ramai pihak termasuk penyokong tanah air.
“Tidak ada khabar angin langsung mengenai penamatan tugas Alto Linus sebelum ini. Jadi, apabila Sabah FC mengumumkan jurulatih baharu hanya sehari sebelum perlawanan pertama musim, ia sememangnya satu kejutan yang besar.
"Keputusan saat akhir ini memberi gambaran seolah-olah Sabah FC berada dalam keadaan terdesak dan tidak mampu menunggu walaupun sehari lagi,” ujarnya.
Alto Linus sebelum ini diberi tugas mengendalikan Sabah FC. — Facebook/Sabahfc
Pekan turut meluahkan simpati terhadap situasi dialami Alto Linus, yang sebelum ini dilihat bersemangat mempersiapkan pasukan untuk musim baharu, sebelum digantikan pada saat akhir. Hanya beliau sahaja yang tahu bagaimana perasaannya ketika itu,” katanya.
Bagaimanapun, Pekan percaya Sabah FC bertindak atas rasa tanggungjawab dan tidak mahu mengulangi kesilapan musim lalu.
“Walaupun ada gangguan dari segi fokus dan emosi pemain, ia hanya bersifat sementara. Lebih baik perubahan dibuat sekarang daripada selepas prestasi pasukan merudum. Musim baru sahaja bermula dan masih ada ruang untuk menyesuaikan diri,” tambahnya.
Pelantikan Jean-Paul itu sekali gus membuka lembaran baharu buat Sabah FC, yang jelas tidak mahu sekadar menjadi pasukan pelengkap dalam saingan Liga Super 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram