Ditewaskan Imigresen jadi 'soft reminder', aksi DPMM-Selangor jadi gambaran masa depan Badrul Afzan bersama TFC — Pekan Ramli


  • Podium
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Susulan tewas 1-2 kepada Imigresen, laungan #BadrulAfzanOut mula membanjiri media sosial kelab tersebut. — Facebook/TFC

KEDUDUKAN Badrul Afzan Razali sebagai pengendali Terengganu FC (TFC) semakin terancam apabila skuad bimbingannya itu tewas 1-2 kepada Imigresen FC dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Piala FA di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang pada Ahad. 

Penyerang import Brazilm Joao Pedro muncul wira tuan rumah, apabila menyempurnakan peluang pada minit ke-91, sekali gus memberikan bekalan berharga satu gol untuk dibawa ke aksi timbal balik di Kuala Terengganu, Terengganu pada 13 September depan.

Pasukan bimbingan Yusri Che Lah mendapat gol kedua hasil daripada jaringan Rafael Iserhard Holstein, manakala Yann Mabella pula memberikan gol tunggal buat Terengganu dalam perlawanan itu. 

BACA LAGI: Terengganu FC raih semangat daripada bas baharu, gandingan baharu

BACA LAGI: Awas Selangor, Terengganu ada 'hikmah' tanpa tekanan saingan peringkat Asia musim ini

Selepas merekodkan kemenangan 3-0 kepada Penang FC, seri 2-2 menentang PDRM FC dan tewas di tangan Imigresen berkenaan, laungan #BadrulAfzanOut mula membanjiri media sosial kelab tersebut. 

Kekalahan mengejut Terengganu kepada pasukan baharu Liga Super itu dianggap sebagai satu 'soft reminder' buat Badrul Afzan untuk segera memperbaiki prestasi pasukan sebelum situasi menjadi lebih sukar.

Menurut pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, adalah terlalu awal untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu jurulatih pada peringkat awal musim, namun kekalahan itu wajar dijadikan isyarat jelas kepada Badrul Afzan bahawa masa tidak berpihak kepadanya.

"Setakat satu hingga dua perlawanan ini, dengan keputusan satu seri dan satu kalah adalah tidak wajar mengugurkan jurulatih. Cuma mungkin sedikit tidak baik kepada coach Badrul sebab kalah kepada pasukan yang baru naik ke Liga Super. 

"Tapi bukannya perkara ini tidak pernah berlaku. Dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pun biasa juga berlaku apabila pasukan yang baru dinaikkan ke EPL, menjadi satu pasukan yang giant killer ataupun pasukan yang underdog dan membuat keputusan yang diluar jangkaan.

"Ini pun biasa berlaku. Jadi mungkin bagi saya terlalu awal. Tetapi ia sebagai satu peringatan yang kuat untuk Badrul supaya tak boleh tunggu. Orang kata tidak boleh membiarkan pasukan Tengganu berdepan dengan kekalahan lagi," katanya kepada Majoriti.

Pekan menambah, walaupun TFC masih menggunakan barisan pemain utama sedia ada, corak permainan dilihat kurang agresif dengan tempo agak perlahan mungkin berpunca daripada persiapan pra musim yang tidak begitu mantap.

Justeru, Pekan berpendapat bahawa dua aksi Liga Super seterusnya menentang DPMM FC di Brunei pada 22 Ogos dan berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menghadapi Selangor pada 27 Ogos bakal menjadi kayu ukur sebenar hala tuju TFC musim ini.

"Main di Brunei menjadi cabaran yang getir kepada coach Badrul. Kalau kita nak tengok pasukan itu ke mana mereka boleh pergi terutama kepada pasukan Tengganu musim ini. Kita kena tengok benchmark dia dekat game dengan DPMM nanti. Main di gelanggang lawan.

"Kalau Terengganu tak boleh nak absorb, tak boleh memenangi perlawanan dengan DPMM, ini satu gambaran yang kita dah nampak Terengganu akan berdepan dengan musim yang sukar musim ini kepada Badrul Afzan. Begitu juga aksi menentang Selangor," jelasnya

Beliau turut mengingatkan bahawa biasanya TFC tampil mantap di awal musim, tetapi kali ini persembahan mereka kelihatan goyah.

Jika kekalahan berterusan direkodkan, kedudukan Badrul Afzan selaku pengendali pasukan boleh terancam lebih awal daripada jangkaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram