
SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencuri tumpuan ramai apabila menunjukkan bakat terpendam dalam sukan sepak takraw ketika menyertai permainan santai bersama penduduk tempatan di Kampung Air Batang di Pulau Tioman baru-baru ini.
Dalam satu hantaran video berdurasi 18 saat yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda dilihat beraksi sebagai tekong dan kelihatan tidak kekok langsung dalam mengawal permainan.
"Santai, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang tidak melepaskan peluang beraksi bermain sepak raga bersama penduduk di Kampung Air Batang, Pulau Tioman pada 14 Ogos 2025," menurut kapsyen hantaran berkenaan.
BACA LAGI: Alex dipinjamkan ke NSFC bukan satu kesilapan — Legenda Selangor
BACA LAGI: [VIDEO] Bagaikan mimpi ngeri, 3 'musuh lama' menanti JDT untuk rebah
Aksi spontan tersebut memperlihatkan kebolehan baginda mengawal bola, menghalangnya daripada menyentuh tanah sebelum menghantar bola kembali ke gelanggang lawan.
Setakat ini, video tersebut telah meraih lebih 600,000 tontonan, dengan ramai rakyat Malaysia meluahkan rasa kagum dan bangga terhadap keprihatinan serta semangat kesukanan baginda.
"Terbaik Tuanku, berjiwa rakyat. Cara main pun bukan biasa-biasa, memang ada seni," kata Pok Nik Telor Sotong.
"Ada skil juga Tuanku. Kalau tak biasa main, tak boleh ambil bola dengan paha. Sepak pun padu," ujar Encik Madie pula.
"Tuanku memang sportsman. Bagi apa pun, semua baginda boleh main," kata Mohd Sanusi Hj Abdullah.
Tindakan baginda itu sekali lagi membuktikan sifat berjiwa rakyat dan keakraban baginda bersama masyarakat, selain memperlihatkan minat mendalam terhadap sukan tradisional tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram