
WAKIL tunggal Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/26, Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi menentang beberapa gergasi Asia termasuk dua kelab China dan dua kelab Jepun dalam saingan Zon Timur yang bakal menyaksikan empat aksi berlangsung di laman sendiri.
Mengikut format terbaharu kejohanan, setiap pasukan akan beraksi lapan perlawanan peringkat kumpulan, empat di laman sendiri dan empat di tempat lawan.
Hanya lapan pasukan teratas setiap zon akan mara ke pusingan kalah mati.
BACA LAGI: ACLE: Pertembungan panas JDT-Buriram United berpotensi berlaku seawal peringkat kumpulan
BACA LAGI: Bangkit selepas tewas kepada JDT, kami belajar dari kesilapan — Deeromram
JDT turut diundi bertemu Buriram United, Vissel Kobe dan Shanghai Port dalam peringkat kumpulan ACLE 2025/2026. — Facebook/JST
Antara kelab yang bakal menguji keampuhan skuad kendalian Xisco Munoz di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor ialah dua pasukan dari China, juara Liga Super China merangkap juara Piala FA, Shanghai Port, serta naib juara liga, Shanghai Shenhua yang pernah ditewaskan JDT 3-0 di laman sendiri pada 1 Oktober 2024.
Selain itu, cabaran dari Jepun turut menanti dengan JDT akan melayan kunjungan juara Liga J dan juara Piala Maharaja, Vissel Kobe, serta Machida Zelvia, pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga Liga J musim lalu.
Untuk empat aksi di tempat lawan, Harimau Selatan akan berkunjung ke empat negara iaitu Thailand, Australia, Jepun dan China.
Lawan yang menanti termasuk jaguh Asia, Buriram United, naib juara 'regular season' Liga Australia, Melbourne City, serta naib juara Liga J, Sanfrecce Hiroshima.
Satu lagi perlawanan sukar bakal berlangsung di China iaitu menentang Chengdu Rongcheng, kelab yang layak menerusi pusingan play-off kelayakan.
JDT kini memiliki gandingan yang cukup berbisa daripada Arif Aiman (kiri) dan Joao Figueiredo. — Facebook/JST
Menariknya ACLE kali ini, pertembungan JDT dan Buriram United terus menjadi perhatian selepas kedua-dua pasukan sekali lagi diundi dalam kumpulan yang sama.
Musim lalu, harapan JDT untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir ACLE lebur selepas tunduk tipis 0-1 secara agregat di tangan Buriram di SSI pada 11 Mac lalu.
Rekod itu menjadi tamparan buat JDT yang dilihat masih belum berjaya mengatasi kelebihan dimiliki juara Thailand itu, meskipun memiliki keistimewaan beraksi di gelanggang sendiri.
Satu lagi pertembungan yang menarik perhatian ialah bertemu dengan Shanghai Port, pasukan yang terikat 2-2 dengan JDT dalam saingan Kumpulan A pada 18 September 2024.
Dalam perlawanan itu, JDT yang bertandang ke China memerlukan magis Arif Aiman Hanapi untuk meraih satu mata berharga selepas berdepan asakan tanpa henti daripada tuan rumah.
Meskipun, JDT pada awalnya diramal mudah menundukkan pasukan lawan, kelebihan beraksi di laman sendiri selain kualiti ditonjolkan membolehkan Shanghai Port mengikat anak-anak buah Hector Bidoglio ketika itu.
Manakala, pertemuan semula dengan Vissel Kobe bakal mencabar ketahanan mental Harimau Selatan, selepas kekalahan besar 1-5 pada musim 2020.
Walaupun ketika itu JDT hadir dengan persiapan rapi, kelebihan kualiti pemain lawan nyata sukar ditandingi.
Kehadiran pemain warisan, Hector Hevel dijangka mampu membantu JDT melepasi peringkat kumpulan dengan mudah. — Facebook/JST
Namun begitu, JDT kini tampil dengan skuad yang lebih mantap antaranya kehadiran pemain warisan seperti Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, serta bintang tempatan Arif Aiman Hanapi dilihat mampu memberi dimensi baharu dalam usaha mereka melepasi peringkat kumpulan dan mencipta sejarah mara ke suku akhir.
Musim lalu, JDT berjaya mengutip 14 mata menerusi empat kemenangan dan dua seri, sekali gus berada dalam kelompok tiga terbaik Zon Timur.
Pencapaian itu memberi harapan baharu buat penyokong bahawa Harimau Selatan kini lebih bersedia menempuh cabaran Asia.
Saingan peringkat liga ACLE dijadualkan berlangsung pada September hadapan dengan 8 pasukan terbaik bakal layak ke pusingan 16 terbaik sekitar Mac 2026 nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram