Kelab enggan lepas bintang warisan, Harimau Malaya terpaksa tarik diri Piala CAFA 2025 


  • Podium
  • Rabu, 16 Jul 2025

Harimau Malaya terlepas peluang untuk beraksi menentang gergasi Asia seperti Iran dan Tajikistan. — Facebook/MalaysiaNT

SKUAD Harimau Malaya dilaporkan terpaksa melepaskan peluang keemasan untuk menguji kehebatan mereka dalam saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 apabila difahamkan akan menarik diri dari kejohanan berkenaan. 

Perkembangan berkenaan dilaporkan oleh pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam yang berkongsi bahawa Harimau Malaya berkemungkinan bakal menarik diri daripada saingan di rantau Asia Tengah itu.

Difahamkan, keputusan itu terpaksa dibuat selepas beberapa pemain utama tidak dapat dilepaskan oleh kelab masing-masing terutamanya bintang warisan yang beraksi di luar negara seperti di Sepanyol, Colombia dan Argentina susulan ia berada di luar kalendar FIFA. 

BACA LAGI: Rahmat buat Nafuzi, 3 bintang B-23 termasuk Ubaidullah ada pengalaman bersama Harimau Malaya

BACA LAGI: Selagi bawah TMJ, Zainal Abidin optimis ranking Harimau Malaya akan terus melonjak

Ia disuarakan sendiri oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang menyatakan perubahan tarikh yang jatuh di luar kalendar FIFA itu menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.

"Perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka. 

"Situasi ini secara langsung menjejaskan usaha kami untuk membentuk skuad terbaik bagi kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi apabila beberapa pemain utama kami beraksi di liga-liga utama seperti Sepanyol, Argentina, Colombia  dan Jepun.

“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.

"Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal," katanya memetik kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu.

Berdasarkan kenyataan FAM, tarikh baharu kejohanan yang dikemas kini selepas undian rasmi dilakukan, iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September, kini bermula di luar kalendar rasmi FIFA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram