
BERBAKI hanya lima kilometer (km) sebelum ke garisan penamat dengan tayar pecah, pasukan Eastcoast Rallying x Piston Project nekad teruskan perlumbaan.
Taruhan berisiko tinggi itu ternyata berbaloi apabila mereka berjaya menaiki podium kategori M3 dalam siri kedua Kejuaraan Rali Malaysia 2025 musim ini.
Sebelum itu, pada peringkat ketiga perlumbaan (SS3), jentera Honda Jazz GE milik mereka mengalami kerosakan serius, memaksa kru pasukan bertungkus-lumus membaikinya dengan kekangan peralatan dan di bawah terik matahari.
BACA LAGI: Bezanya Pak Ngah-Kipre, waima bersama kelab sekarang mahupun terdahulu
BACA LAGI: Pelantikan CEO TFC: Pengaruh saja tak cukup, cabang bola sepak berbeza — Pemerhati
Honda Jazz GE menjadi taruhan pasukan Eastcoast Rallying x Piston Project, namun mengalami kerosakan tayar kritikal yang hampir menggagalkan usaha mereka menaiki podium bagi kategori M3.
Sedar mereka semakin jauh ketinggalan, gandingan pemandu Muhamad Roni Risman dan pemandu arah Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki memecut semaksimum mungkin untuk menutup jurang masa dan menamatkan baki perlumbaan di laluan ladang sawit berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang lokasi rasmi siri kedua kejuaraan musim ini.
Untuk rekod, musim ini menandakan permulaan kerjasama sulung antara Eastcoast Rallying dan Piston Project, sebuah pasukan lumba berpengalaman besar di litar asfalt tempatan dan antarabangsa.
“Kami tiada pilihan, sama ada kami menyerah kalah lebih awal untuk sesuatu yang tidak pasti atau kami tamatkan perlumbaan ini dengan penuh bangga untuk perlumbaan awal musim ini.
"Catatan masa semasa memberi sedikit kelebihan buat kami untuk naik podium, tapi meneruskan perlumbaan dengan tayar pecah adalah risiko besar, terutama untuk elak penalti masa di garisan penamat,” kata pemilik Piston Project, Muhamad Roni Risman yang juga pertama kali merasai pengalaman berlumba di permukaan batu kerikil (gravel).
Pasukan Eastcoast Rallying x Piston Project mengalami kerosakkan tayar sewaktu perlumbaan siri kedua Kejuaraan Rali Malaysia 2025.
Sementara itu, Ir. Ts. Muhammad Syakirin menyifatkan keputusan yang telah diambil adalah satu ‘kerja gila’.
“Tiada pelumba yang ingin berakhir dengan DNF (Did Not Finish) dan kami perlu bermati-matian berusaha agar tidak melakar rekod awal musim ini sedemikian rupa.
“Sebagai pelumba rali di mana-mana pun sama ada di kalangan kami mahupun di luar negara, podium adalah bonus.
“Prestij kami adalah untuk menamatkan sesuatu perlumbaan walaupun seteruk mana kerosakan kereta lumba yang menjadi taruhan.
"Itulah hakikat dan cabaran sebenar buat pelumba rali,” kata Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang telah mewarnai arena perlumbaan rali tempatan sejak 2012.
Pada siri kedua Kejuaraan Rali Malaysia 2025 yang berlangsung di Sepang, juara bagi kategori M3 menjadi milik Hasrin Tahir bersama rakan sepasukan Hendra Eryawan, yang mengemudi jentera Proton Satria Neo 1.6 untuk pasukan Bawang R Tune Mannol Rally Team.
Tempat kedua pula diraih penuh dramatik oleh pasukan Eastcoast Rallying x Piston Project, yang pertama kali bergandingan dalam saingan rali, dipacu oleh Muhamad Roni Risman bersama pemandu arah Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik pasukan R&R Sport Speed Garage yang dibarisi pelumba berpengalaman, Dinie Nazmi Abd Rahman dan Mohd Nazam Shah Sulaiman.
Aksi pusingan ketiga dan keempat Kejuaraan Rali Malaysia 2025 dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini, dengan daerah Asahan, Melaka dipilih sebagai venue penutup bagi musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram