'You will never walk alone', kempen Justice for Zara tersebar hingga ke Anfield


  • Massa
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Seorang peminat membawa mesej yang meminta keadilan terbela buat arwah Zara Qairina (gambar kecil).

KEMPEN dilancarkan untuk memberi kesedaran mengenai kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir jelas membuahkan hasil apabila orang ramai terus berkata akan perkara tersebut.

Selain meminta keadilan dalam siasatan pihak berkuasa, orang ramai turut mengharapkan pelaku disiasat secara telus dan dikenakan hukuman setimpal.

Melihat kepada perkongsian di media sosial, kempen dilancarkan menerusi pelbagai medium, termasuk menghasilkan poster dan grafik dengan kapsyen 'Justice for Zara'.

BACA LAGI: Bergelut musim pertama, penyerang kaki kaca tak kisah kekal lebih lama di Anfield

BACA LAGI: Kunjungan ‘menyeramkan’ ke Anfield, Amorim patut turunkan 2 'winger' lincah — Legenda Man United

Pelbagai medium digunakan untuk melancarkan kempen kesedaran di sebalik kematian Zara Qairina.

Kesedaran mengenai kes tersebut turut dikongsikan peminat bola sepak kerana sejak permulaan saingan Liga Super 2025/26, kelihatan kain rentang dipasang di stadium berserta mesej yang menuntut keadilan atas pemergian arwah.

Malah, kempen sedemikian turut tersebar hingga ke luar negara apabila pada Jumaat, peminat Liverpool, Joshua Raj membawa sekeping kertas memaparkan mesej berserta tanda pagar #JusticeforZara serta cogan kata terkenal, You Will Never Walk Alone di Stadium Anfield.

Tindakan itu dibuat semasa aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara skuad The Reds dan Bournemouth yang menyaksikan tuan rumah meraih tiga mata penuh menerusi kemenangan 4-2.

Foto memaparkan peminat tersebut bersama kertas berkenaan kemudian dimuat naik di laman Facebook dengan lebih 1,500 perkongsian dibuat dengan masing-masing sudah tentu tersentuh akan usaha berkenaan.

Joshua Raj membawa sekeping kerta berserta mesej Justice for Zara ketika aksi EPL di Anfield.

Meskipun mesej cuba disampaikan itu tidaklah begitu meluas, ia diharapkan mampu membuka mata lebih ramai pengguna media sosial akan isu di sebalik pemergian pelajar Tingkatan Satu itu.

Sehingga kini, kempen kesedaran akan pemergian Zara Qairina tersebar hingga ke Thailand dan Indonesia dengan masing-masing turut mengharapkan siasatan telus dapat dibuat.

Pada 17 Julai, Allahyarhamah ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di sebuah longkah berhampiran asrama SMK Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah sebelum dikejarkan ke hospital untuk diberi rawatan.

Bagaimanapun, kecederaan dalaman dan beberapa tulang yang patah membuatkan pihak perubatan gagal menyelamatkannya dengan kematiannya membuatkan orang ramai tertanya sama ada terdapat unsur jenayah terlibat.

Jenazah Allahyarhamah sebelum ini sudah digali semula untuk menjalankan proses bedah siasat dengan hasil daripadanya masih belum diketahui setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram