
PROSPEK muda negara, Ng Jing Xuen menyuarakan rasa tidak setuju terhadap tindakan sesetengah kelab golf yang melarang pemain wanita memakai skirt panjang ketika bermain, menyifatkannya sebagai sekatan kurang wajar dan tidak relevan dengan perkembangan sukan itu.
Menurut pemain profesional berusia 16 tahun berkenaan pilihan pakaian seharusnya ditentukan oleh individu, bukannya mereka dipaksa oleh mana-mana pihak.
BACA LAGI: [VIDEO] Tuah pertama kali main di Malaysia, Kritchanya mahu fokus Maybank Championship 2025
“Saya rasa bukan idea yang baik untuk menghalang wanita memakai apa yang mereka mahu kerana badan ini milik kami, pilihan pun milik kami.
“Apa yang kami pakai bukan untuk mengagumkan orang lain, tetapi untuk rasa yakin dan gembira dengan diri sendiri,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas sidang media Kelayakan Asean Kejuaraan Maybank pada Rabu.
Jing Xuen turut menegaskan bahawa aspek keselesaan dan prestasi di padang lebih penting berbanding sekatan fesyen.
Katanya, walaupun ada yang memilih skirt labuh bagi mengelakkan terlalu terdedah, ia kadangkala menyukarkan pergerakan terutama ketika melakukan pukulan di bunker.
“Kalau skirt terlalu panjang, stance jadi susah dibuka dan kelab boleh tersangkut. Jadi, bagi saya lebih baik pakai seluar panjang. Yang penting pakaian tidak mengganggu permainan dan kita selesa memakainya,” jelasnya.
Sebelum ini seorang pemain golf wanita meluahkan rasa kecewa dan berasa didiskriminasi apabila dia tidak dibenarkan untuk bermain golf di sebuah kelab golf di Bukit Rotan, Kuala Selangor, Selangor kerana pemakaiannya.
Mengulas pandangan berbeza dalam kalangan pemain, Jing Xuen menjelaskan bahawa pilihan berpakaian perlu menghormati latar belakang masing-masing termasuk pemain Muslim yang mungkin memilih fesyen tertentu.
“Bagi Muslim, ada banyak jenis fesyen yang sesuai dan itu bergantung kepada mereka sendiri. Saya rasa tiada masalah dan ia tidak keterlaluan atau menjolok mata,” katanya.
Beralih mengenai perkembangan kariernya, Jing Xuen memaklumkan dia beralih ke kancah profesional awal tahun ini dan banyak beraksi di China, di mana suasana kejohanan yang disertai pelbagai pemain antarabangsa membuatkannya lebih berpengalaman.
“Saya belajar banyak perkara dan lebih mengenali permainan sendiri. Matlamat saya adalah untuk terus mengumpul pengalaman dan memperbaiki diri setiap hari,” ujar pemain berada di tangga kelima atau keenam Malaysia, Jing Xuen tetap kekal positif.
Prospek muda golf negara, Ng Jing Xuen. — Instagram/Jing Xuen
Bagi menggalakkan lebih ramai anak muda mencuba sukan golf, Jing Xuen menyarankan agar mereka memulakan latihan di driving range sebelum turun ke padang bagi memastikan pengalaman bermain lebih menyeronokkan.
“Kalau terus ke course tanpa latihan, bola pun mungkin tak kena pukul, jadi tak seronok. Mulakan di range dahulu, kemudian baru main di padang,” ujarnya.
Untuk info, gokusnya kini beralih kepada kejohanan di China, termasuk LPGA China, selepas menamatkan saingan di tempat keenam di Guangdong dan muncul naib juara Q-School awal tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram