[VIDEO] 'Jangan tutup TV dulu!', air mata bek Sabah gugur di Cheras, muncul wira lepas lama cedera


  • Podium
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Gabriel Peres tidak dapat menahan air matanya selepas membantu Sabah FC menyamakan kedudukan pada minit akhir menentang KL City di Stadium Cheras. — Faecbook/Sabahfc

BEK tengah Sabah FC, Gabriel Peres muncul wira apabila menjaringkan gol penyamaan dramatik pada minit akhir perlawanan untuk mengikat Kuala Lumpur City FC (KL City) 1-1 dalam aksi Liga Super 2025/2026 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Dalam perlawanan penuh emosi itu, Sabah FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dean Pelekanos dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama.

Kad merah itu diberikan selepas bantuan video (VAR) mengesan kekasaran terhadap pemain KL City FC, Declan Lambert.

BACA LAGI: [VIDEO] Killer Perak Bison kongsi rahsia 'comeback' lepas pertarungan 98 minit menentang Penang Black Panthers

BACA LAGI: Rindu membekas di hati, duo bintang Liga Super sukar lupakan jasa kelab lama

Tuan rumah terlebih dahulu di depan pada minit ke-64 hasil gol sendiri Dane Ingham yang tertampan masuk hantaran lintang daripada Lambert, sekali gus memberi kelebihan buat The City Boys.

Namun, ketika kemenangan hampir pasti milik KL City, Gabriel Peres tampil menyelamatkan maruah Sang Badak apabila menanduk masuk bola hasil sepakan percuma Stuart Wilkin pada minit akhir perlawanan, gol yang memastikan Sabah membawa pulang satu mata berharga.

Apa yang menjadikan jaringan itu lebih bermakna adalah ia merupakan aksi pertama Peres sejak 1 Januari 2025, selepas berehat panjang akibat kecederaan serius.

Momen penuh emosi itu turut disertai dengan tangisan pemain kelahiran Brazil tersebut sebaik sahaja wisel penamat ditiup.

Meninjau ruangan komen di media sosial, ramai penyokong The Rhinos turut tersentuh dengan detik tersebut.

"Menangis si Gabriel Peres. Lama dia cedera musim lepas, semalam gol pembuka musim buat dia," kata @Haloogaess.

"Aku pun ikut sedih tengok Peres menangis. Bangga dia dapat gol, lama tak main. Sekali turun, terus jadi wira. Terima kasih, Peres," kata @6ix0ine.

"Lama betul Peres berehat. First game musim ni, terus jaring dan selamatkan pasukan dari kekalahan. Cukup bagi impak positif untuk dia dan pasukan," tambah @LYANNA de Ryan.

Bukan itu sahaja, ramai penyokong turut meninggalkan komen mengingatkan agar tidak menutup televisyen terlalu awal sebelum perlawanan tamat, memandangkan gol-gol penting boleh berlaku pada saat-saat akhir seperti yang dibuktikan oleh jaringan dramatik Peres.

Secara umum, ketika sesebuah pasukan kelihatan hampir tewas, apatah lagi tanpa sebarang petanda jaringan bakal terhasil, ramai penyokong lazimnya memilih untuk menutup siaran kerana merasakan keputusan sudah pun diketahui.

Namun, situasi berbeza tercetus dalam perlawanan membabitkan Sabah FC apabila gol penyamaan berjaya dijaringkan pada minit terakhir, sekali gus mengubah keseluruhan keputusan perlawanan dan menyentuh emosi ramai penyokong yang masih setia menonton hingga ke penghujung.

"Jangan awal-awal tutup TV dulu," tulis @JiHyo.

"Jangan tutup TV dulu," ujar @Kupucho.

Sabah FC kini bersiap sedia menerima kunjungan Kelantan The Real Warriors di Stadium Likas pada 23 Ogos, manakala KL City FC akan bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menentang Penang FC pada 24 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram