
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia apabila diumumkan sebagai salah satu pasukan dalam balang satu untuk sesi undian Liga Juara-Juara Asia Elite musim 2025/26.
Pengumuman rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Rabu menyaksikan skuad Harimau Selatan tersenarai bersama lima lagi kelab elit Asia menjelang undian yang akan berlangsung bermula pukul 5 petang pada Jumaat (15 Ogos) di saluran YouTube rasmi AFC.
Menurut ramalan super komputer footyrankings.com, JDT mungkin akan berdepan kelab kuat dari China seperti Shanghai Port dan Shanghai Shenhua, jaguh Australia Melbourne City, serta kelab dari Korea Selatan, FC Seoul.
BACA LAGI:'Tiada siapa tahu keajaiban yang mampu dibawa pengendali baharu Sabah FC'
BACA LAGI:Rindu membekas di hati, duo bintang Liga Super sukar lupakan jasa kelab lama
Joao Figueiredo merupakan senjata baharu JDT dalam saingan ACLE 2025/2026.— Facebook/JST
Selain itu, ujian getir juga menanti dengan kemungkinan besar bertemu Ulsan HD, Gangwon, jaguh Thailand,Buriram United dan Chengdu Rongcheng.
JDT akan membawa cabaran sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam saingan ACLE musim ini selepas muncul juara Liga Super 2024.
Musim lalu, JDT menunjukkan peningkatan ketara apabila melangkah ke pusingan 16 terbaik selepas mengumpul 14 mata di peringkat kumpulan, hasil empat kemenangan, dua seri dan hanya satu kekalahan.
Mereka turut mencatat kemenangan bersejarah 5-2 ke atas Pohang Steelers.
Namun, kemaraan JDT terhenti di pusingan kalah mati apabila tewas tipis 0-1 kepada Buriram United dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 11 Mac lalu.
Meskipun tersingkir, JDT membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap jadual, sebaliknya pencabar serius dalam pentas tertinggi Asia.
Menurut ramalan super komputer lagi, JDT dijangka berdepan beberapa lawan hebat di laman sendiri seperti Shanghai Port dan Shanghai Shenhua (China), Melbourne City (Australia), serta FC Seoul (Korea Selatan).
Selain itu, mereka juga bakal menentang Gangwon (Korea Selatan), Chengdu Rongcheng (China), Buriram United (Thailand) dan Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dalam perlawanan di tempat lawan.
Ramalan super komputer footyranking.com mengenai aksi JDT dalam saingan ACLE.
Menariknya, JDT pernah menewaskan Ulsan HD dalam saingan peringkat kumpulan musim lalu, memberi harapan tinggi bahawa mereka mampu mengulangi pencapaian sama, malah mungkin melangkah lebih jauh.
Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dijangka menjadi faktor utama membantu JDT mengutip mata maksimum, terutamanya menentang wakil dari Jepun dan Australia yang sering bergelut di tempat lawan.
Dengan barisan pemain bertaraf tinggi seperti Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, serta bintang tempatan Arif Aiman Hanapi, di bawah kendalian ketua jurulatih Xisco Munoz, JDT memiliki ramuan lengkap untuk mara ke suku akhir, sesuatu yang gagal dicapai musim lalu.
Namun begitu, rekod menentang kelab seperti Vissel Kobe dan Buriram United masih menjadi peringatan buat JDT.
Kedua-dua pasukan itu pernah menyekat kemaraan mereka sebelum ini dan jika diundi sekali lagi, Harimau Selatan perlu lebih tajam dan konsisten.
Selepas menawan Liga Malaysia dan menempatkan diri dalam kelompok terbaik Asia musim lalu, JDT kini mengintai misi lebih besar, mara ke suku akhir atau lebih jauh dalam ACLE 2025/26.—Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram