'Tak semua anak yang anxious, kelam kabut, tak reti duduk diam itu ADHD', pakar optometris dedah masalah sebenar anak 9 tahun ini


  • Bonda
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Tidak semua anak yang gelisah, sukar fokus atau sentiasa bergerak itu mengalami ADHD. — Gambar Hiasan

RAMAI ibu bapa cepat beranggapan anak yang gelisah, sukar fokus atau sentiasa bergerak itu mengalami Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Namun, pakar optometris, Masdi Hazli menegaskan tidak semua situasi sebegitu menandakan masalah ADHD.

Dalam satu hantaran di laman Facebook, Masdi berkongsi pengalaman beliau menangani seorang kanak-kanak lelaki, Danish (bukan nama sebenar) yang berusia 9 tahun.

“Muka comel, tetapi sentiasa gelisah, gigit kuku, tangan tak duduk diam dan petah bercakap. 

"Ibunya, seorang suri rumah sudah cuba pelbagai kaedah seperti vitamin, ubat tenang, terapi tetapi cikgu-cikgu terus melaporkan yang anak dia tidak fokus dan mudah termenung,” kata beliau.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Macam mana nak hantar anak ke sekolah kalau tiada kepercayaan?', Nora gesa sekolah perketat keselamatan, wujudkan sistem aduan buli berkesan

BACA LAGI: [VIDEO] Pesona perkahwinan diraja anak saudara Sultan Perak, pasangan mempelai segak, anggun gayakan persalinan songket kuning keemasan

Masdi menjelaskan bahawa selepas melakukan ujian keupayaan fokus, eye tracking dan visual memory, beliau mendapati Danish bukan sahaja berkemungkinan mengalami ADHD, malah turut menghadapi masalah memproses visual dan tumpuan.

Visual processing bermaksud otak anak itu tidak cukup pantas memproses apa yang mata nampak.

"Mata tidak stabil semasa membaca, mudah melompat dari satu baris ke baris lain. Bila melihat papan putih, sukar menyalin kerana mata lambat menyesuaikan jarak. 

"Apabila terdedah kepada banyak teks, mereka mudah resah yang kelihatan seperti ADHD,” katanya.

Bagi ibu Danish, penemuan itu memberikan satu kelegaan yang membuatnya bersyukur. 

“Ibu dia cakap, saya ingat anak saya ada masalah ADHD… selalu rasa bersalah kerana marah dia sebab tidak fokus,” katanya.

Masdi menekankan bahawa anak-anak sebegini bijak, namun koordinasi mata dan otak mereka memerlukan latihan khas dan bukannya ubat atau hukuman.

Danish kemudian mengikuti sesi terapi visual sekali seminggu, bertujuan melatih fokus mata, mengekalkan bacaan dalam baris, serta meningkatkan integrasi visual-motor melalui aktiviti seperti memantulkan bola sambil membaca.

Selepas tiga bulan, guru melaporkan peningkatan jelas dalam kebolehan fokus Danish, keupayaan menyiapkan kerja dan keyakinan semasa membaca.

“Tak semua anak yang gelisah atau kelam kabut itu ADHD. Kadang-kadang, mata mereka cuma penat kerana sistem penglihatan belum cukup matang. Namun, ramai ibu bapa diberi ubat terlalu cepat dan anak terus dilabel," katanya. 

Beliau menambah bahawa Visual Processing Disorder berbeza dengan rabun biasa atau rabun silau dan kaedah rawatan meliputi cermin mata khas, terapi visual dan modifikasi tingkah laku. 

Masalah visual fungsional dan tingkah laku seperti yang dialami Danish juga boleh berlaku serentak dengan rabun biasa.

Di ruangan komen, beberapa ibu bapa turut berkongsi pengalaman mereka. 

“ADHD bukan masalah mental. Anak saya ADHD, okay saja. Masa kecil sangat aktif dan kreatif, fokus kadang terganggu, tapi belajar dengan baik," kata Fatrah Wahida

"Tengah lalui. Anak melalui saringan awal ADHD markah tinggi kemungkinan ada. Tengah tunggu tarikh dari hospital untuk appointment. Kesian umur 10 tahun tapi menulis slow, tak boleh fokus langsung," kata Intan Izaida. 

Kesimpulannya, pakar menasihatkan ibu bapa supaya tidak terus membuat andaian dan memberi ubat sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan.

Setiap anak adalah unik dan keperluan mereka harus ditangani secara khusus, terutama bagi masalah penglihatan dan perhatian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram