
MENJELANG kempen Liga Malaysia (Liga M) yang akan berlangsung pada Ogos, Sabah FC terus memperkukuhkan skuad mereka dengan membawa masuk tiga pemain import baharu untuk mengisi semua aspek penting.
Tiga pemain import itu adalah penyerang dari Bosnia Herzegovina Ajdin Mujagic; pemain tengah kelahiran Sydney, Australia Dean Pelekanos dan pemain pertahanan kelahiran Australia, Dane Ingham.
Bercakap mengenai Ajdin, pemain berusia 27 tahun itu dilihat sebagai pengganti bagi penyerang Brazil Joao Pedro selain memiliki rekod baik dengan meledakkan 15 gol buat kelab lamanya, NK BSK Bijelo Brdo.
BACA LAGI: Ubi JDT makin garang, Fergus Tierney terus meledak di Liga Thailand
BACA LAGI: 'Sertai kelab bawahan Thailand boleh matangkan Fergus Tierney'
Selain itu, penyerang berketinggian 1.89 meter berkenaan juga memiliki rekod jaringan yang baik iaitu merekodkan 22 gol semasa bersama kelab di Bosnia iaitu NK Zvijezda Gradacac dan TOSK Tesanj.
Tidak cukup dengan Ajdin, kelab berpangkalan di Borneo itu serius mahu membaiki bahagian serangan mereka dengan membawa masuk penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Fergus Tierney.
"Penyerang baharu yang menyertai Sabah selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama Nakhon Pathom United dan sebelum ini merupakan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Dia juga merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan Malaysia, dan kini menjadi sebahagian daripada keluarga Sang Badak. Bab baharu bermula," kongsi pengumuman yang dikeluarkan oleh media sosial Sabah FC.
Berdasarkan hantaran dari Sabah FC itu, perpindahan pemain berusia 22 tahun berkenaan sepertinya secara tetap dan bukannya pinjaman. Ia melegakan penyokong yang mahu menyaksikan Tierney diturunkan ketika aksi menentan Harimau Selatan.
Kehadiran Tierney dianggap satu keputusan berbaloi dibuat pihak pengurusan Sabah FC susulan pemain kebangsaan itu mempunyai pengalaman beraksi di liga luar negara dan pastinya ia boleh digunakan di Sabah FC.
"Sangat berbaloi bawa dia masuk, good signing Sabah FC. Selamat datang Fergus Tierney," kata penyokong The Rhinos, Don Malaikatsesat.
"Ini betul-betul saya setuju sebab memang terbukti ketika bermain untuk Harimau Malaya," komen penyokong The Rhinos, Amran Aan.
"Dia boleh main winger juga, sesuai untuk ganti posisi Saddil (Ramdani)," kata penyokong JDT, John Gopoit.
Tierney ketika beraksi di Thailand bersama Nakhon Pathom United. — Facebook/Nakhon Pathom United
Untuk rekod, pada musim lalu menyaksikan Tierney berkelana secara pinjaman ke Thailand bersama kelab Chonburi dan Nakhon Pathom sebelum kembali ke pangkuan pasukan asalnya iaitu Harimau Selatan.
Sepanjang di Thailand, pemain kelahiran Akademi Soccer Experience FC itu merekodkan 25 penampilan bersama Chonburi dan Nakhon Pathom serta berjaya meledak empat gol dengan tiga daripadanya bersama The King Tigers. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram