
SKUAD muda Malayan Tigress sekurang-kurangnya mempunyai satu kenangan manis dalam kempen kelayakan Piala Asia Wanita Bawah 20 tahun (B-20) 2026 selepas meraih kemenangan tunggal menentang Guam.
Selepas 'dilanyak' Jepun dengan keputusan 0-16 dan kalah pula 0-3 kepada Iran, skuad kendalian Cameron Ng tidak rela perlawanan menentang Guam sekadar menjadi sekadar pelengkap jadual.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur itu menyaksikan Kaseh Carlmila Az-Zahra Mohd Ridhuwan muncul wira skuad negara apabila meledak kedua-dua gol Malayan Tigress B-20 pada minit ke-64 dan 86.
BACA LAGI: 'Bukan sebab ranking, level Malaysia terlalu jauh berbanding Korea Utara'
BACA LAGI: [VIDEO] 'Local pride!', aksi bengkeng Intan Serah hiasi kemenangan skuad wanita negara
Dua gol daripada penyerang muda berkenaan menyaksikan Kaseh Carlmila sebagai menjadi pemain pertama skuad muda Malayan Tigress yang mencetak nama selaku penjaring dalam kejohanan tersebut.
Menariknya, dua gol itu didedikasikan khas untuk penyokong bola sepak tanah air berikutan sebelum ini pemain berusia 19 tahun tersebut pernah menabur janji kepada salah seorang penyokong Malaysia.
"Esok (Ahad) saya pasti score untuk kawan-kawan saya dan penyokong," janjinya.
Usahanya untuk mendapatkan jaringan demi tanah air itu mendapat pujian penyokong bola sepak tanah air dengan ramai melihat Kaseh Carlmila bukan sekadar memberi janji kosong kepada peminat bola sepak tempatan.
Kemenangan ke atas Guam menyaksikan Malayan Tigress menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan mengumpul tiga mata, manakala Jepun muncul juara kumpulan selepas merekodkan kemenangan bersih dalam tiga perlawanan.
Keputusan berkenaan meletakkan Iran di kedudukan kedua dengan mengumpul enam mata manakala Guam yang tewas semua perlawanan berada di kedudukan tercorot dalam Kumpulan F, kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram