[VIDEO] 'Local pride!', aksi bengkeng Intan Serah hiasi kemenangan skuad wanita negara


  • Podium
  • Khamis, 03 Jul 2025

Malayan Tigress memastikan kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen kelayakan. — Facebook/FAM

PELUANG skuad bola sepak wanita kebangsaan untuk melepasi Kumpulan H dalam Kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 kian tipis selepas pendahulu, Korea Utara berada dalam landasan terbaik ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, Malayan Tigress yang berada di bawah bimbingan Joel Cornelli masih boleh berbangga akan usaha ditampilkan setakat ini selepas mengekalkan rekod 100 peratus daripada dua perlawanan.

Ini selepas pasukan negara berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut, termasuk ke atas tuan rumah, Tajikisan dalam perlawanan pada Rabu yang diadakan di Stadium Central, Dushanbe.

BACA LAGI: Mulakan karier seawal usia 7 tahun, bintang Selangor ikut jejak Intan Serah ke New York

BACA LAGI: Sabah sudah sedia, Intan Serah jadi sandaran fans

Perbezaan jaringan menyulitkan hasrat Malayan Tigress untuk layak ke Piala Asia Wanita tahun depan. Facebook/FAM

Gol tunggal perlawanan dihasilkan Henrietta Justine pada minit pertama waktu kecederaan selepas pemain terbabit menanduk masuk hantaran silang Intan Sarah Zulgafli.

Jaringan tersebut sememangnya diraikan Malayan Tigress yang pastinya berbangga dengan kejayaan mengumpul tiga mata penuh buat dua perlawanan berturut-turut selepas turut berbuat demikian dalam aksi pembukaan menentang Palestin.

Bagaimanapun, perlawanan terbabit tidak terkecuali daripada insiden hangat apabila memasuki detik akhir perlawanan, tercetus ketegangan antara pasukan negara dan Tajikistan.

Kekecohan itu berlaku selepas pemain tuan rumah mendesak salah seorang pemain Malayan Tigress yang mengalami kecederaan supaya segera bangkit dan tidak melengahkan waktu perlawanan.

Situasi tersebut disedari Intan yang pantas menepis tindakan pihak lawan kerana dikhuatiri tindakan berkenaan akan memburukkan lagi kecederaan dialami rakan sepasukannya itu.

Ketegangan antara kedua-dua pemain bagaimanapun pantas dileraikan pemain negara dan Tajikistan selain tindakan pantas pengadil yang tidak mahu situasi lebih teruk disaksikan.

Namun, kredit perlu diberikan kepada Intan yang menunjukkan sikap kepimpinan di atas padang kerana enggan rakan sepasukannya dihalang daripada menerima rawatan sepatutnya.

Rentak cemerlang direkodkan skuad wanita negara itu diharapkan mampu diteruskan dalam perlawanan penutup peringkat kumpulan menentang Korea Utara di venue sama pada Sabtu.

Kemenangan perlu dicatatkan anak-anak buah Cornelli sekiranya mahu layak ke Piala Asia Wanita 2026 kerana Korea Utara memiliki kelebihan besar dari segi perbezaan jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram