
MINAT usahawan tempatan, Tan Sri Tony Fernandes untuk terlibat secara dekat dengan dunia bola sepak tempatan tidak perlu diceritakan kerana dia beberapa kali menyatakan hasrat sedemikian.
Setelah melepaskan pegangan saham dengan Queens Park Rangers (QPR), taikun ternama itu pernah mengeluarkan kenyataan bahawa belum pernah ditawarkan mana-mana jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkara berkenaan masih tidak berubah hingga hari ini selepas dia memberitahu tiada mana-mana pihak meminta bantuan serta sokongannya dalam sukan terbabit meskipun memiliki pengalaman dan kepakaran tersendiri.
BACA LAGI: Tony Fernandes ada 'wealth & power' untuk pimpin FAM — Pekan Ramli
BACA LAGI: Tony Fernandes lepaskan QPR, tukar angin ke kelab Pantai Timur?
Program pembangunan akar umbi dalam negara terus diabaikan. — Agensi
"Saya harap ada yang akan datang kepada saya. Saya cukup mencintai bola sepak dan mempunyai pengalaman mendalam mengenainya selepas menonton bola sepak lokal sejak usia lima tahun," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Golf Terbuka Amatur Wanita (LAO) 2025 yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tony Fernandes yang berusia 60 tahun pernah dikaitkan dengan penglibatan dalam bola sepak tempatan kerana kelabnya di England, QPR pernah berada dalam divisyen teratas, Liga Perdana Inggeris (EPL) semasa di bawah pengurusannya.
Kepakaran dalam menguruskan sesebuah pasukan sepatutnya membuka mata badan tempatan untuk melantiknya dalam mana-mana jawatan untuk memastikan sukan tersebut dapat terus berkembang.
Beliau turut memberitahu bahawa kemungkinannya untuk memiliki kelab lokal adalah tipis berdasarkan situasi sama sambil menjelaskan dirinya lebih tertarik dengan pembangunan akar umbi.
NFDP yang ditubuhkan bagi mengasah bakat muda mencuri tumpuan Tony Fernandes. — Facebook/KBS
"Saya masih ingat ketika Khairy (Jamaludin) masih bergelar Menteri Belia dan Sukan, dia mencetuskan idea NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan) yang saya lihat cukup bagus.
"Kualiti pemain muda berumur bawah 12 tahun adalah cukup bagus, mereka sememangnya sebagus bakat muda di luar sana. Cuma, untuk jadi lebih baik, anda perlu diberikan minit permainan kompetitif dan struktur ini yang perlu kita perhatikan.
"Inilah apa yang saya tertarik untuk libatkan diri iaitu pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi, termasuk sekolah bola sepak dan akademi," katanya lagi.
Meskipun tidak pernah terlibat secara dekat di peringkat akademi, Tony Fernandes sudah tentu menyedari kepentingan mengasah bakat muda kerana hal tersebut cukup ditekankan di luar negara.
Bagaimanapun, perkara itu kurang diberi perhatian di Malaysia memandangkan hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC memiliki program akademi yang jelas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram