[VIDEO] Bekas suami meninggal dunia dalam tempoh iddah, bekas isteri layak terima harta pusaka? Ini penjelasan peguam syarie


  • Cinta
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Seorang wanita yang masih dalam tempoh iddah dikejutkan dengan berita kematian bekas suaminya. — Gambar Hiasan

DALAM rumah tangga, perpisahan antara suami isteri bukan sahaja membawa kesan emosi, tetapi turut melibatkan banyak persoalan daripada sudut hukum termasuk soal hak perwarisan dan pusaka.

Baru-baru ini, tular di media sosial kisah seorang wanita yang masih dalam tempoh iddah selepas diceraikan, namun dikejutkan dengan berita kematian bekas suaminya akibat kemalangan.

Situasi luar jangka itu menimbulkan satu persoalan penting iaitu adakah wanita berkenaan masih berhak mewarisi harta pusaka bekas suaminya.

BACA LAGI: 'Jangan cepat emosi, elak menyesal kemudian hari', kahwin kontrak selepas talak 3 dianggap tak sah, dilaknat Tuhan — Peguam Syarie

BACA LAGI: Bekas suami maki dan fitnah di media sosial? Ini tindakan undang-undang boleh diambil yang ramai wanita tidak tahu

Nur Syuhada Adnan merupakan peguam syarie bagi Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Menjawab persoalan tersebut, peguam syarie, Nur Syuhada Adnan menjelaskan bahawa kelayakan seseorang bekas isteri untuk menerima pusaka bergantung sepenuhnya kepada jenis perceraian dan waktu kematian itu berlaku.

“Kalau perceraian berlaku melalui talak raj‘i iaitu talak satu atau talak dua dan suami meninggal semasa tempoh iddah, maka bekas isteri masih dianggap sebagai waris sah. Maka, layak menerima pusaka,” katanya kepada Majoriti.

Ini kerana dalam talak raj‘i, tempoh iddah dianggap sebagai kesinambungan kepada ikatan perkahwinan.

Suami masih boleh merujuk isteri tanpa akad baru dan hubungan itu masih dianggap wujud.

Namun, Nur Syuhada berkata, jika perceraian berlaku secara talak bain, contohnya talak tiga (bain kubra) melalui penceraian fasakh atau tebus talak, maka bekas isteri tidak lagi berhak ke atas harta peninggalan bekas suami walaupun kematian berlaku dalam tempoh iddah.

“Apabila perceraian dah jadi bain, hubungan suami isteri sudah terputus sepenuhnya. Dalam keadaan ini, tiada lagi hak untuk mewarisi pusaka,” katanya.

Bagaimana jika si suami meninggal selepas tempoh iddah?

Nur Syuhada turut menjelaskan bahawa jika kematian berlaku selepas tempoh iddah tamat, bekas isteri tidak akan berhak mewarisi harta peninggalan suami tanpa mengira jenis talak yang dilafazkan sebelum itu.

“Kalau iddah dah habis, kemudian baru bekas suami meninggal dunia, isteri memang tak layak terima pusaka. Tak kisahlah talak satu, dua atau tiga,” katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram