JUTAWAN terkenal Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes sah meninggalkan pasukan Liga Inggeris divisyen kedua, Queen Park Rangers (QPR) selepas melepaskan baki pegangan saham miliknya dalam pasukan tersebut pada Isnin.
Pengumuman pada laman sesawang kelab tersebut juga secara tidak langsung menandakan berakhirnya tempoh 12 tahun Fernandes yang membeli kelab itu bersama rakan kongsinya, Ruben Gnanalingam dan Kamarudin Meranun pada 2011.
“Keputusan untuk meninggalkan kelab dibuat dengan hati yang berat. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong di mana saya mengalami pengembaraan menarik dalam tempoh sedekad.
“Saya akan terus melihat keputusan perlawanan QPR dan saya ucapkan selamat berjaya buat lembaga pengarah untuk masa hadapan,” katanya dalam laman sesawang rasmi kelab.
Bagi pemegang saham majoriti skuad The Hoops itu, Gnanalingam melihat keputusan Fernandes sebagai satu hari sedih buat kelab di barat London itu.
“Ini hari yang sedih untuk kelab, terutamanya untuk saya kerana Tony dan saya menyertai kelab ini bersama.
“Terdapat beberapa detik menakjubkan semasa tempoh itu termasuk terselamat daripada penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2012 dan kejayaan play-off pada 2014.
“Sudah tentu ada cabarannya juga tetapi niat baik Tony untuk kelab ini tidak pernah diragui,” ujarnya selaku wakil lembaga pengarah.
Cuma di saat penyokong QPR menzahirkan ucapan selamat tinggal dan terima kasih kepada kepada Fernandes, pengikut bola sepak tanah air pula sudah mula mengaitkannya dengan salah sebuah kelab Pantai Timur.
Masakan tidak, baru-baru ini nama pengasas syarikat penerbangan Air Asia itu antara yang disebut-sebut bakal membida sebuah kelab Pantai Timur dan majoriti mata penyokong tertumpu kepada Kelantan FC.
Kemelut dalaman melibatkan tunggakan gaji sehingga menyaksikan ramai pemainnya memilih untuk meninggalkan pasukan berkenaan merupakan faktor terbesar The Red Warrios (TRW) memerlukan seorang pemilik yang mempunyai kewangan lebih kukuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram