
DALAM dunia fesyen, duduk di barisan hadapan khususnya di pertunjukan fesyen bukan sekadar soal prestij, tetapi satu penghormatan terhadap karya seni dan kreativiti pereka.
Namun, apabila undangan eksklusif itu tidak disusuli dengan kefahaman mendalam terhadap fesyen, ia mengundang kritikan daripada umum termasuk penggiat dan pemain industri.
Itulah yang berlaku di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 apabila segelintir undangan barisan hadapan dikecam kerana menghasilkan kandungan media sosial yang disifatkan sebagai 'kosong' dan tidak mencerminkan nilai sebenar acara fesyen berprestij itu.
BACA LAGI: Tidak mahu sia-siakan 22 tahun perkahwinan, Edika Yusof kini mahu fokus jaga isteri, urus bisnes
Baru-baru ini, seorang wanita mencetuskan perbincangan menerusi hantarannya mengenai isu terlibat.
"Kalau sudah duduk di barisan hadapan di KLFW, paling kurang bawalah kosa kata yang berfungsi. Saya faham, busana diperagakan cantik tapi tak cukup sekadar komen 'cantiknya atau sukanya'" ini bukan pentas peragaan pasar malam," tegasnya.
Pandangan itu turut disokong ramai warga maya lain.
"Kalau tak tahu komen, sepatutnya diam sahaja dan hargai dari dalam hati kemudian kongsi dan ceritakan semula mengenai rekaan yang dipamerkan. Saya banyak dengar bisikan komen sinis dalam latar belakang rakaman video saya," kata @aintnocrybry.
"Ada juga yang duduk barisan hadapan tapi sibuk main telefon dan muat naik di story. Nampaknya mereka dating bukan sebab minat fesyen, tapi sebab nak perhatian," komen @datoellanrahim.
Kritikan turut disuarakan oleh pencipta kandungan tempatan yang aktif dalam bidang fesyen, @nsyakinah.
“Saya satu-satunya pencipta kandungan tempatan yang buat ulasan koleksi penuh. Lain semua cuma tunjuk baju sendiri dan gaya posing,” katanya.
Tidak kurang juga yang menyarankan agar hanya individu yang benar-benar faham dunia fesyen diberi tempat di barisan hadapan.
“Jemputlah yang tahu tentang rekaan, fabrik, konsep dan trend. Jangan beri ruang kepada yang cuma kejar glamor,” tegas @kukubesihir.
Sementara itu, dalam hantaran lain yang dibuat oleh Pengasas Tact, Ridduan Ismail atau lebih dikenali sebagai ttfga (Tukang Tangkap Foto Gembira Anda) turut berkongsi rasa kurang senang dengan gaya sesetengah undangan yang tidak bersesuaian dengan identiti jenama.
“Fesyen memang medium ekspresi, tapi kalau nak mohon akses media, hormatlah estetika kami. Takkan datang ke pertunjukan kami dengan gaya macam nak ke konsert Lady Gaga,” katanya.
Untuk makluman, KLFW 2025 kini berlangsung selama seminggu bermula 4 Ogos lalu sehingga 10 Ogos ini di KLCC, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram