Bukan semata-mata nak kurus, ramai wanita dapat khidmat pelatih peribadi kerana mahu main bersama anak


  • Podium
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Kebanyakan pelanggan wanita yang hadir kepadanya adalah ibu dan suri rumah yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.

PENINGKATAN jumlah wanita yang mendaftar dengan pelatih peribadi bukan semata-mata kerana trend atau keinginan untuk tampil kurus, tetapi berpunca daripada masalah kesihatan yang semakin meruncing.

Menurut pelatih kecergasan wanita, Nadia Valentina Siew Shan-Li, kebanyakan pelanggan wanita yang hadir kepadanya adalah ibu dan suri rumah yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.

“Kebanyakan orang datang kepada saya kerana mereka sakit. Tekanan darah tinggi, tak dapat berjalan, sakit lutut. Mereka tak boleh bermain dengan anak-anak mereka dan itu yang paling mereka risaukan,” kata Nadia kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Sukan pickle ball makin canggih, gelanggang AI jadi tarikan Mothership

BACA LAGI: [VIDEO] 'Aktiviti ini sesuai untuk ibu, anak', gelanggang pickleball Amelia di Sentul semakin dapat sambutan

Nadia Valentina ditemui ketika Majlis Pelancaran cincin pintar RingConn Gen 2 dan Gen 2 Air oleh AECO Technologies di Pickle Space, Subang Jaya, Selangor pada Khamis.

Cincin pintar RingConn Gen 2 dan Gen 2 Air boleh didapati di pasaran Malaysia dengan tanda harga RM1,399 dan RM999 masing-masing dengan teknologi baharu itu merupakan alat terbaharu untuk menjadi rakan gaya hidup aktif masa kini.

Varian Gen 2 diperkenalkan sebagai cincin pintar ultra nipis pertama yang dilengkapi dengan pemantauan apnea tidur, disertakan ciri-ciri seperti pemantauan kadar degupan jantung, SpO2, indeks tekanan, pemantauan pelbagai aktiviti harian serta program kesihatan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Gen 2 Air pula menawarkan ciri-ciri pemantauan yang hampir sama seperti Gen 2 namun kecuali tidak disertakan dengan pemantauan apnea tidur, dibuat daripada keluli premium tahan karat, ketahanan bateri sehingga 10 jam dan hadir dalam dua pilihan warna iaitu galaxy silver dan dune gold sahaja.

Nadia Valentina (kanan) dilantik sebagai duta  cincin pintar RingConn Gen 2 dan Gen 2 Air.

Dalam pada itu, Nadia Valentina juga berkongsi bahawa ramai kliennya terdiri daripada ibu-ibu yang sudah melepasi usia 30-an, malah ada yang sudah bersara.

Menurutnya lagi, pelanggan tertuanya berusia 68 tahun dan masih aktif mengikuti sesi latihan meskipun pernah menjalani pembedahan kedua-dua lutut serta mengalami sakit belakang.

Sebahagian besar pelanggan Nadia bukan sahaja datang kerana mahu kurus, tetapi kerana mahu kembali cergas selepas melahirkan anak, atau mengalami tekanan darah tinggi, sakit lutut dan masalah postur akibat gaya hidup mereka.

"Awalnya sukar untuk melatih mereka tapi selepas jadi lebih kuat, beliau pula yang semakin bersemangat. Dia boleh naik tangga, angkat barang dan berjalan dengan yakin. Itu motivasi sebenar.

"Ramai ibu rumah tangga datang selepas hantar anak ke sekolah. Mereka mahu kekal sihat, bermain dengan anak atau cucu, dan pakai semula baju lama mereka selepas bersalin," ujarnya.

 

 

Nadia Valentina menekankan pentingnya senaman walaupun dalam gaya hidup yang sibuk. Katanya, tidak perlu masa berjam-jam untuk bersenam, cukup dengan 5 hingga 10 minit sehari untuk melakukan pergerakan mudah seperti berjalan, squats atau push-ups.

"Jangan tak bergerak langsung. Kita terlalu banyak duduk di pejabat, di depan komputer. Badan pun mula sakit. Kalau tak cukup masa, jaga makanan dan tidur. Tapi tetap buat sesuatu. Semua orang ada masa lima minit," kongsinya.

Bukan itu sahaja, Nadia Valentina turut melatih kanak-kanak seawal usia 8 tahun hingga ke warga emas yang berusia lebih 60 tahun.

Meskipun kini mengendalikan lebih sedikit pelanggan secara individu berbanding dahulu, Nadia Valentina tetap komited memastikan setiap sesi membawa impak kepada kehidupan harian mereka.

"Sasaran utama saya bukan badan cantik, tapi fungsi. Saya mahu mereka rasa seronok bila boleh bermain dengan anak-anak, urus kerja rumah tanpa sakit, dan kekal aktif walaupun usia meningkat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram