
JUARA 11 kali Liga Super berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengumumkan penyertaan penyerang warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo sebagai pemain baharu menjelang musim 2025/2026.
Perkara itu diumumkan secara rasmi menerusi satu video berdurasi 30 saat yang dimuat naik di laman Facebook, JOHOR Southern Tigers pada Ahad, memaparkan Figueiredo menyarung jersi nombor 25 bersama Harimau Selatan.
"Joao Figueiredo membawa komitmen dan keazaman ke Johor Darul Ta'zim FC," kata kenyataan ringkas kelab dalam kapsyen video berkenaan.
BACA LAGI: JDT labur RM15 juta, Sabah FC sempat menyelit miliki pemain termahal Liga Super
BACA LAGI: Piala Asean: Selangor berdepan 2 finalis edisi lepas, JDT dapat laluan lebih mudah
Pemain berusia 29 tahun berkenaan menjadi pemain warisan ketiga yang menyertai skuad Harimau Selatan pada musim ini selepas kehadiran pertahanan Jon Irazabal dan pemain tengah Hector Hevel.
Selain itu, JDT turut mengukuhkan skuad dengan kehadiran empat lagi pemain import iaitu Antonio Glauder, Ibrahim Manusi, Jairo Da Silva dan Moussa Sidibe bagi memperkuatkan cabaran musim hadapan.
Kehadiran Figueiredo ke Iskandar Puteri bagaimanapun mendapat kritikan hebat daripada penyokong terutama yang lebih gemar jika pemain berkenaan terus berkelana di bumi Eropah.
Figueiredo sebelum ini merupakan pemain kelab Turkiye, Istanbul Basaksehir sejak 2023 dengan dia mencetak 24 gol dan menyumbang empat bantuan jaringan kepada kelab besar Lig 1 Turkey.
Bagaimanapun, sesetengah penyokong melihat penghijrahan ke JDT itu sebenarnya menguntungkan skuad kebangsaan susulan akan memudahahkan urusan perjalanan jika dipanggil mewakili tugasan negara.
"Seperti yang dijangka, perpindahan ini akan mudahkan urusan coach Harimau Malaya (Peter Cklamovski) kumpulkan semuanya bila ada tugasan negara," kata penyokong Malaysia, Fendi Assnoor.
"Kalau Malaysia main, tidak susah untuk call up dia kerana tidak perlu minta kelulusan kelab lama," pendapat penyokong skuad kebangsaan, Fariza Juniorz.
"Kalau dia main JDT, kita tengok kesan positif dia kepada pasukan negara. Nanti ada kejohanan CAFA bulan sembilan nanti. Kalau main dengan kelab lama, mungkin susah dilepaskan kerana bukan dalam kalander FIFA," kata penyokong JDT, Fairuszy Apex.
Nama Figueiredo melonjak naik dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air selepas persembahan mengagumkan dalam penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan Malaysia ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, penyerang berusia 29 tahun itu meledak satu gol dan memberi impak besar dalam kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram