Bukan hanya Matyo, ada lagi ikon Liga Super berstatus 'otai' meriahkan Liga A1


  • Podium
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Pengalaman Matyo bakal jadi aset berharga dalam membimbing pemain muda KRW FC ke tahap lebih tinggi. — Facebook/KRWFC

SAINGAN Liga A1 Semi Pro 2025/2026 sudahpun bermula dengan menyaksikan 16 pasukan, termasuk penyertaan kelab ternama seperti Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II dan dua wakil Kedah, Kedah Darul Aman FC dan Kedah FA, sekali gus mengujakan peminat bola sepak tempatan.

Kemunculan kelab-kelab popular itu bukan sahaja mempertingkatkan mutu saingan, malah menjadikan Liga A1 sebagai antara pertandingan paling dinanti dalam kalendar bola sepak tanah air.

Liga A1 juga berfungsi sebagai platform penting buat pemain dan kelab amatur untuk menimba pengalaman berdepan pasukan berkualiti, selain membuka peluang keemasan untuk melangkah ke Liga Super dan Piala Malaysia.

BACA LAGI: Kuota pemain tempatan bertambah tapi siapa sebenarnya dapat peluang sebenar?

BACA LAGI: Kelab baru naik, bajet kecil bukan cabaran baharu buat YCL

Matyo antara pemain yang sering diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten. Facebook/KRWFC

Menambah lagi kehangatan musim ini ialah kehadiran ikon bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha yang kembali beraksi bersama Kelantan Red Warriors (KRW FC).

Kehadiran bekas penyerang kebangsaan itu yang lebih dikenali sebagai Matyo disambut penuh keterujaan oleh para penyokong tanah air.

Selain Matyo, tiga lagi bekas bintang Liga Super turut mengambil keputusan menyertai saingan kali ini, menandakan komitmen tinggi pemain-pemain berpengalaman untuk terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak tanah air.

1. S Veenod (Bunga Raya FC)

Bekas tonggak tengah skuad kebangsaan, S. Veenod kini membuka lembaran baharu dalam kariernya apabila sah menyertai Bunga Raya FC untuk saingan Liga A1 musim ini.

Veenod, yang memulakan karier profesional pada 2008, bukan nama asing dalam bola sepak tempatan kerana dia pernah menyarung jersi beberapa kelab terkemuka seperti Penang FC, USM FC, Selangor, Kelantan dan Sarawak United.

Sepanjang lebih 15 tahun dalam kancah Liga M, Veenod dikenali sebagai pemain yang versatil, berdisiplin dan berpengaruh di padang.

S Veenod (kanan) sebelum ini pernah menabur bakti bersama skuad kebangsaan.  Agensi

Kehadiran Veenod bukan sekadar memperkasa jentera tengah pasukan, tetapi juga sebagai mentor kepada pemain muda dalam skuad.

Veenod tampil aksi sulung bersama Bunga Raya FC ketika perlawanan bertemu Armed Forces FC saingan Liga A1 namun tewas 0-4 di tangan lawan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Mindef, Kuala Lumpur pada Ahad.

2. Khair Jones (UM Damansara)

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Khair Jones mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila mengesahkan penyertaannya bersama UM Damansara United dalam saingan Liga A1 musim ini.

Kemunculan semula pemain yang pernah dianggap antara pertahanan kiri terbaik tanah air itu memberi nafas baharu kepada pasukan, selain menandakan keazaman tinggi beliau untuk terus menyumbang dalam arena bola sepak tanah air.

Khair Jones mula mencipta nama dalam Liga M bersama Melaka United pada 2016, dengan ketinggian 1.91 meter dan kemampuan beraksi di posisi bek kiri serta tengah bertahan, beliau pantas menjadi salah satu aset penting pasukan.

Kenangan manis Khair Jones (kanan) ketika menyarung jersi kebangsaan adalah mencetak satu gol aksi Piala Asia 2016. Agensi

Selain Melaka United, pemain warisan kelahiran New Zealand itu pernah beraksi untuk beberapa kelab lain termasuk Kuala Lumpur, Sarawak United, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur City.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya dan menjaringkan satu gol ketika menentang Timor-Leste dalam aksi kelayakan Piala Asia 2016.

3. Nazrin Nawi (Kelantan WTS FC)

Bekas pemain sayap lincah tanah air, Nazrin Nawi membuat kemunculan semula dalam arena bola sepak apabila menyertai Kelantan WTS FC bagi menghadapi saingan Liga A1.

Langkah itu menandakan kebangkitan semula Nazrin selepas keluar daripada persaraan, sekali gus menyalakan semula semangat juang seorang pemain yang pernah menjadi antara tonggak sayap terbaik tanah air.

Nazrin memulakan karier profesionalnya bersama UPB-MyTeam pada 2009 dan sepanjang lebih satu dekad, beliau pernah beraksi bersama pasukan seperti Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor Darul Ta'zim (JDT), Perak dan Melaka United.

Nazrin bangkit semula selepas persaraan, kembali dengan semangat juang yang tinggi. — Agensi

Selepas kembali aktif bersama BRM FC dalam Liga M3 pada musim 2023, Nazrin kini menjadi antara pemain utama Kelantan WTS FC yang sedang memburu kedudukan empat terbaik Liga A1.

Kehadiran Nazrin bukan sahaja memperkuat jentera serangan Kelantan WTS FC, malah melengkapkan perjalanan penuh inspirasi seorang bekas legenda Liga Super yang masih belum puas menyumbang kepada bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram