
BOLEH dikatakan ketika ini, skuad beregu lelaki negara berada di tahap yang baik.
Bukan setakat persembahan beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, kualiti persembahan beregu negara yang masih bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut meningkat.
Ia dapat dilihat apabila gandingan yang lain seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut melakar kejayaan pada musim 2024 Jelajah Dunia BWF.
BACA LAGI: Kualiti liga merudum kerana hanya dikuasai satu kelab — Legenda Jerman
BACA LAGI: Apalah guna ada padang diiktiraf FIFA tapi Sri Pahang tidak 'bernyawa' — Penyokong
Terkini, satu lagi gandingan iaitu Yap Roy King-Arif Junaidi berjaya meraih gelaran Jelajah Dunia BWF selepas memenangi Terbuka Macau.
Ia hadir selepas mereka menewaskan beregu nombor lapan dunia dari Indonesia, Moh Reza Pahlevi-Sabar Karyaman Gutama 22-20, 21-18 dalam aksi sengit 79 minit.
Bagi pemerhati badminton tempatan, Meor Abdullah Syamim, impak ditonjolkan oleh jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry IP berjaya membantu meningkatkan prestasi para pemain negara secara keseluruhan.
Kekuatan mental ditonjolkan mereka berjaya memastikan gelaran dunia pertama berjaya diraih mereka.
"Kejayaan menjuarai Terbuka Macau memang satu indikasi jelas mereka kini dalam proses peningkatan prestasi, pada empat kejohanan terakhir mereka tidak bernasib baik kerana perlu berhadapan dengan rakan senegara yang lebih unggul iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun sebanyak tiga kali dan sekali bertemu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.
"Semangat juang kental serta mengawal tekanan dengan baik ketika perlawanan akhir yang sering diganggu dengan isu bumbung bocor mencerminkan mental mereka juga di tahap terbaik.
"Memang tidak dinafikan dengan kehadiran Herry IP corak permainan Roy King-Arif meningkat. Tetapi ini hanyalah permulaan bagi mereka dan perlu menyerap dengan lebih baik ilmu yang dicurahkan jurulatih legenda tersebut," ujarnya kepada Majoriti.
Melihat kepada sentuhan Herry kepada skuad beregu lelaki negara berjaya membawa peningkatan prestasi, Meor tidak teragak untuk mengatakan kesemua pasangan negara berada pada tahap permainan lebih baik berbanding sebelum ini.
Dengan beregu negara sudah mula menguasai pertandingan peringkat S750 dan S1000 atau sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir, semuanya terserah kepada Herry dan anak-anak buahnya untuk terus menerjah pelbagai kejuaraan dunia.
"Ya, tak keterlaluan untuk mengatakan sektor beregu lelaki negara pada ketika ini berada di fasa atau zaman yang baik dengan beberapa kejuaraan dimenangi oleh mereka.
"Aaron-Wooi Yik memenangi tiga kejuaraan, Wei Chong-Kai Wun pula mengungguli Indonesia Masters dan Malaysia Masters, Terbuka India Super 750 pula dimenangi Sze Fei-Nur Izzuddin dan terbaharu kejayaan Arif-Roy King. Mereka di landasan terbaik untuk terus menggapai kejayaan," ulasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram