Takut kena denda royalti, kafe di Indonesia mula ganti main lagu-lagu Barat


  • Benua
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Pengusaha kafe di Indonesia mengelak memainkan muzik tempatan kerana risau terpalit isu royalti.

MENJADI kelaziman bagi kedai berbentuk kafe untuk memasang muzik bagi memeriahkan suasana dan menghiburkan pengunjung yang hadir.

Akan tetapi, lain pula ceritanya di Indonesia apabila kafe-kafe di sana terutamanya dekat Tebet, wilayah Jakarta Selatan mula mengelakkan diri daripada memasang muzik tempatan di premis mereka.

Kafe-kafe tersebut semuanya sedang 'memboikot' muzik Indonesia kerana tidak mahu terpalit dengan isu royalti.

BACA LAGI: Istana Perak buat laporan polis, nafi video palsu dakwa ada persandingan diraja

BACA LAGI: Panggilan telefon, baju batik PM Anwar bayangi kisah tarif 19 peratus AS

Kafe di Indonesia sunyi tanpa dendangan lagu buatan negara tersebut akibat isu royalti.

Memetik laporan di Indonesia, kafe-kafe di Tebet lebih memilih untuk memasang muzik daripada negara Barat bagi mengelakkan isu berkaitan pembayaran royalti kerana memainkan lagu-lagu oleh artis tempatan.

Ia susulan berlakunya satu kes melibatkan sebuah perniagaan didenda kerana tidak membayar royalti selepas memainkan lagu tempatan di kawasan komersial.

"Jadinya, kami perlu akur dengan peraturan di sini, kami pilih untuk mainkan lagu-lagu dari Barat.

"Sebelum ini, tiada masalah untuk mainkan lagu dari Indonesia, namun sekarang tidak boleh kerana terpaksa ikut peraturan," ujar Ririn (bukan nama sebenar) yang mengusahakan salah sebuah kafe di kawasan itu.

Walaupun para pengusaha kafe terpaksa menggantikan muzik Indonesia dengan lagu-lagu dari Barat, ia masih diterima baik oleh pelanggan.

Hal ini kerana, mereka masih memainkan lagu-lagu hits walaupun bukan nukilan penyanyi Indonesia.

Dalam masa yang sama, ada juga kafe yang memilih untuk menjadikan premis mereka sunyi sepi selepas isu tersebut dengan tidak memainkan sebarang muzik.

Mereka lebih rela membiarkan suasana kafe dengan sekadar suara para pelanggan berbual sesama mereka atau bunyi memasak dari dapur.

"Saya tidak pernah memainkannya lagi, ia telah diharamkan dari awal. Jadi, ia benar-benar hilang," kata Gusti (bukan nama sebenar). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram