Kelab baru naik, bajet kecil bukan cabaran baharu buat YCL


  • Podium
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Yusri Che Lah kini diberi kepercayaan untuk membimbing pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC.

BEKAS pengendali Perak FC, Yusri Che Lah kini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih Imigresen FC, yang akan menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.

Pelantikan itu diumumkan selepas Yusri yang pernah mengemudi skuad The Bos Gaurus (TBG) dilihat bersedia membawa pendatang baharu Liga Super ini walaupun dengan bajet yang lebih kecil dan cabaran yang berbeza berbanding kelab lain.

Isu bajet terhad bukanlah perkara baru bagi Yusri kerana ketika mengemudi Perak FC, beliau pernah berdepan cabaran serupa dengan sumber kewangan yang terhad, namun tetap berjaya mengekalkan prestasi dan membawa kelab ke tahap kompetitif.

BACA LAGI: Tambahan kuota pemain lokal, YCL kena bijak bentuk Imigresen FC dalam tempoh singkat

BACA LAGI: NFA tak bermakna kes serangan asid Faisal Halim tidak boleh disiasat lagi — Azalina

Sebelum mengemudi Imigresen FC, Yusri Che Lah pernah membimbing Perak FC.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memperkukuh pasukan Perak, masalah kewangan dan pengurusan tetap menyebabkan mereka terpaksa menarik diri daripada Liga Super 2025.

Di bawah bimbingan Yusri, Perak FC berjaya meraih kemenangan besar 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC dan menaikkan kedudukan mereka tiga anak tangga ke tempat kelima dalam cartaliga dengan 22 mata.

Selain itu, Yusri pernah mencipta sejarah dengan membawa Perak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023 yang ketika itu berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) namun terpaksa menelan pahit apabila tewas 2-12 secar agregat.

Ini menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi pasukan serta keberkesanan strategi yang diterapkan Yusri dalam mengoptimumkan kebolehan pemain terutama menyerang dan bertahan dengan baik tanpa melepaskan sebarang gol pihak lawan.

Yusri Che Lah sebelum ini membimbing Kelantan FC.

Sebelum mengendalikan Perak FC, Yusri juga pernah membawa Kelantan dengan prestasi yang memberangsangkan, membuktikan kebolehan beliau dalam mengemudi pasukan walaupun dengan sumber yang terhad.

Untuk rekod, Yusri pernah membawa Kelantan bangkit daripada kedudukan tercorot selepas kembali dari Kuala Lumpur, yang mana ketika itu beliau menggantikan jurulatih import, Marko Kraljevic.

Keputusan itu berlaku sekitar 2019 apabila Yusri mengambil alih kelab yang menghadapi masalah prestasi.

Di bawah kendalian Yusri, Kelantan berjaya kekal dalam liga walaupun berdepan pelbagai cabaran, menunjukkan kebolehan beliau dalam menangani tekanan dan membimbing pasukan keluar dari situasi sukar.

Kejayaan itu menjadi asas kukuh untuk beliau diberikan tanggungjawab baru di Imigresen FC yang mana beliau perlu memanfaatkan bajet lebih kecil dengan strategi dan pengurusan efektif untuk membawa kelab tersebut naik dan bersaing dalam Liga M.

Persoalan mengenai kebolehan Yusri membawa kelab baru seperti Imigresen FC naik menjadi tajuk perbincangan hangat, namun pengalaman serta rekod pencapaiannya ketika bersama Perak dan Kelantan memberi gambaran positif bahawa beliau mampu menghadapi cabaran tersebut meskipun berdepan kekangan bajet dan situasi yang sukar.

Dengan semangat dan pengalaman luas, Yusri dilihat sebagai pilihan tepat untuk memimpin Imigresen FC terus maju dalam saingan Liga M bersama harapan untuk mengulangi kejayaan sebelum ini walaupun dengan sumber yang lebih terhad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram