
PEMERHATI sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli melontarkan pandangan terhadap keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang baru-baru ini mengumumkan penambahan kuota tiga pemain tempatan dalam setiap pasukan Liga Super kepada 33 orang pemain.
Menurut beliau, penambahan itu sebenarnya tidak memberi impak besar kepada peluang pemain tempatan untuk menyerlah, khususnya jika tiada mekanisme khas atau syarat tertentu yang disertakan.
“Saya tidak nampak pertambahan kuota ini memberi ruang yang lebih luas kepada pemain tempatan untuk menyerlah kerana kuota beraksi di padang untuk pemain import (enam di padang, tiga di bangku simpanan) telah pun ditetapkan, begitu juga dengan pemain tempatan,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Drama derbi Utara buka tirai Liga A1, status liga bawahan dapat sambutan lebih meriah
BACA LAGI: Kelab baru naik, bajet kecil bukan cabaran baharu buat YCL
Beliau menyarankan agar sekiranya kuota tambahan itu benar-benar mahu memberi kesan positif, maka syarat tertentu perlu dikenakan.
“Kecualilah kalau kuota tambahan tiga pemain tempatan ini sekali dengan syarat mestilah pemain berusia bawah 23 tahun dan setiap pasukan diwajibkan menurunkan satu atau dua pemain bawah 23 pada setiap perlawanan.
"Jika tidak, mereka yang didaftarkan sebagai pemain ke-31 hingga ke-33 ini hanya sekadar meramaikan pemain simpanan dan menambah kos pasukan sahaja,” katanya.
Pekan turut mempersoalkan rasional di sebalik pengumuman mendadak itu, yang menurutnya tidak mencerminkan satu keperluan mendesak daripada sebahagian besar pasukan.
“Secara peribadi saya tidak melihat keputusan menambah tiga kuota pemain tempatan kepada 33 pemain di saat akhir sebagai satu desakan yang sangat kuat daripada semua pasukan, kecuali katanya atas permintaan pasukan pendatang baru dari Liga A1,” tambah beliau.
Dengan musim 2025/2026 bakal bermula dalam beberapa hari lagi, beliau percaya sebahagian besar pasukan telah memuktamadkan senarai akhir pemain mereka.
JDT antara pasukan yang turut berpeluang menambah pemain tempatan bagi menghadapi musim depan. — Facebook/JST
Justeru, pengumuman sebegini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding penyelesaian.
“Saya yakin banyak pasukan sudah memuktamadkan senarai pemain mereka kerana hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum Liga Super bermula.
"Lagipun, ini kuota tambahan untuk pemain tempatan bukan masalah besar pun kepada kebanyakan pasukan, kecuali jika ada pemain utama yang cedera di awal musim,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menggesa agar semua pihak menilai kecekapan pengurusan badan pengelola liga itu berikutan beberapa keputusan tidak konsisten yang berlaku sejak kebelakangan ini.
“Beberapa perubahan peraturan pertandingan yang di luar jangkaan berlaku penambahan kuota pemain import, pengurangan kuota pemain Asean beraksi di padang, jadual pertandingan yang lambat dikeluarkan dan kini isu tambahan kuota ini pula.
“Ini bukan soal ‘U-Turn’, tapi soal kecekapan pengurusan sebuah badan penguasa bola sepak profesional negara ini,” tegas beliau.
Pekan turut menyatakan bahawa langkah menambah kuota pemain sepatutnya tidak perlu dijadikan satu keputusan tergesa-gesa yang diumumkan secara dramatik.
“Tunggu sahaja apabila jendela perpindahan dibuka nanti. Setiap pasukan boleh menukar dan mendaftarkan pemain baharu. Jadi ia tidak membebankan semua pasukan dan lagipun ia bukan suatu kemestian atau paksaan," tambahnya.
Kelab-kelab boleh mendaftarkan pemain sehingga tarikh tutup jendela pertama perpindahan pemain pada 31 Ogos 2025, manakala bagi jendela kedua perpindahan pemain akan bermula pada 5 Januari 2026 hingga 1 Februari 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram