
SEORANG bayi lelaki yang dinamakan Thaddeus Daniel Pierce dilahirkan pada 26 Julai lalu di Ohio, Amerika Syarikat daripada embrio yang dibekukan selama lebih 31 tahun, menjadikannya antara bayi tertua pernah dilahirkan hasil embrio beku sekali gus dipercayai memecahkan rekod dunia.
Thaddeus adalah anak kepada pasangan Lindsey dan Tim Pierce dari London, Ohio, yang berjaya menimang cahaya mata itu menerusi Program Snowflakes oleh Nightlight Christian Adoptions selepas tujuh tahun berusaha mendapatkan zuriat tanpa hasil.
Embrio tersebut pada asalnya dibekukan pada 1994 oleh Linda Archerd, kini berusia 62 tahun, melalui prosedur persenyawaan in-vitro (IVF).
BACA LAGI: [VIDEO] Berat hanya 25 kg, atlet remaja Palestin maut akibat kebuluran di Gaza
BACA LAGI: Kelab baru naik, bajet kecil bukan cabaran baharu buat YCL
Thaddeus adalah anak kepada pasangan Lindsey dan Tim Pierce.
Daripada empat embrio yang dicipta ketika itu, satu digunakan oleh Archerd untuk melahirkan anak perempuannya yang kini berusia 30 tahun, manakala tiga lagi kekal dibekukan sehingga diserahkan kepada keluarga Pierce.
“Saya tidak pernah bayangkan perkara seperti ini akan berlaku. Kami tidak kejar sebarang rekod. Kami cuma mahu seorang anak,” kata Lindsey kepada MIT Technology Review, yang turut melaporkan kelahiran tersebut.
Linda Archerd, yang kekal terlibat dalam proses pemilihan keluarga angkat, menekankan bahawa keputusan dibuat berdasarkan nilai agama dan lokasi, memandangkan bayi itu berkongsi hubungan biologi dengan anak perempuannya.
Sebelum ini, rekod embrio beku tertua dipegang oleh pasangan kembar yang lahir pada 2022 hasil embrio dibekukan sejak 1992.
Namun, kelahiran Thaddeus berjaya memecahkan rekod itu dengan tempoh pembekuan selama hampir 11,148 hari atau hampir 31 tahun.
Kelahiran itu bukan sahaja mencipta sejarah peribadi buat keluarga Pierce, tetapi juga membuka ruang baharu dalam bidang perubatan reproduktif, membuktikan bahawa embrio beku boleh kekal bertahan dan menghasilkan kelahiran yang sihat jika diuruskan secara betul. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram