[VIDEO] Sasar 12,000 peserta, IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 seru pelari jadi ‘legenda’


  • Podium
  • Rabu, 14 Mei 2025

IJM Allianz Duo Highway Challenge kembali untuk edisi ketujuh dengan sasaran lebih tinggi sebanyak 12,000 peserta.

ACARA maraton berprestij, IJM Allianz Duo Highway Challenge kembali untuk edisi ketujuh dengan sasaran lebih tinggi sebanyak 12,000 penyertaan berbanding 10,000 peserta tahun lalu.

Maraton unik yang membolehkan peserta berlari di atas lebuh raya itu terus menarik perhatian komuniti larian tempatan dan antarabangsa dengan tahun ini 3 Ogos 2025 dipilih menjadi tarikh acara itu.

Edisi 2025 sudah diperakui secara rasmi oleh World Athletics, dengan kerjasama Association of International Marathons and Distance Races (AIMS). Pensijilan itu mengesahkan bahawa laluan perlumbaan mematuhi piawaian antarabangsa dari segi ketepatan jarak dan pengurusan acara.

BACA LAGI: Kerajaan Johor anjur maraton antarabangsa, sasar tingkat sektor pelancongan sukan

BACA LAGI: Ketahui strategi, cara latihan maraton untuk pelari amatur

Dengan pengiktirafan tersebut, keputusan peserta akan diiktiraf secara rasmi-sekali gus melayakkan mereka untuk kedudukan antarabangsa, pencapaian peribadi dan rekod kelayakan global.

Edisi 2024 IJM Allianz Duo Highway Challenge mencatat dua pengiktirafan Malaysia Book of Records: Maraton Penuh Pertama di Lebuh Raya dan Laluan Maraton Terpanjang di Lebuh Raya yang ditutup sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, edisi 2024 yang melibatkan dua lebuh raya iaitu New Pantai Expressway dan Besraya Highway itu bakal dipenuhi kira-kira lebih 12,000 peserta. 

“Setiap tahun, IJM Allianz mendorong kami untuk menetapkan penanda aras baharu, bukan sekadar dari segi jarak, tetapi juga bagaimana kami mengaktifkan infrastruktur seperti Lebuhraya NPE dan Besraya untuk mencipta pengalaman bermakna kepada komuniti.

“Kini diperakui oleh World Athletics dan dengan sokongan berterusan rakan kongsi kami, acara ini membawa perlumbaan bertaraf antarabangsa yang kekal dengan identiti Malaysia. la bukan sekadar perlumbaan, ia platform untuk kehidupan lebih sihat, semangat bersama dan momentum yang kami banggakan saban tahun.

“Kami terinspirasi dengan sambutan luar biasa tahun lalu, edisi pertama yang menggabungkan dua lebuh raya dalam satu acara maraton. Tahun ini, kami yakin mampu menarik lebih ramai penyertaan dengan sasaran 12,000 pelari,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025.

CEO Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai (dua dari kiri). 

Mengangkat tema ‘jadi legenda’, penganjur menekankan bahawa semangat pencapaian individu sama ada memperbaiki masa larian atau mencabar jarak yang lebih jauh menjadikan setiap peserta seorang legenda dalam cara mereka tersendiri.

“Konsep legenda ini terinspirasi daripada aplikasi seperti Strava, di mana pengguna yang kerap berlari di laluan tertentu diiktiraf sebagai legenda kawasan itu.

“Kami ingin peserta merasa perkara yang sama bahawa penyertaan berterusan dan usaha peribadi mereka menjadikan mereka istimewa,” jelasnya.

Acara itu menawarkan kategori 10 kilometer (km) maraton penuh yang berjarak 42km, dengan peningkatan ketara dalam jumlah peserta yang memilih untuk mencabar diri dalam kategori lebih panjang.

Sementara itu, CEO Allianz Malaysia, Sean Wang memberitahu bahawa selaku penaja utama menyatakan rasa berbesar hati untuk sekali lagi bekerjasama dengan IJM Corporation bagi penganjuran IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 yang dinanti-nantikan.

CEO Allianz Malaysia, Sean Wang.

"Sebagai penaja utama, Allianz Malaysia berbesar hati untuk bekerjasama dengan IJM Corporation sekali lagi untuk Cabaran Lebuhraya Duo IJM Allianz yang sangat dinanti-nantikan. Di Allianz, kami menitikberatkan gaya hidup sihat dan aktif, gaya hidup lestari, dan acara ini jelas mencerminkan nilai-nilai tersebut.

“la juga mempamerkan ketabahan, semangat kemanusian serta tahap kemenangan yang boleh dicapai apabila kita menyokong satu sama lain. Kami amat berbangga dapat menyokong acara ini untuk tahun ketujuh.

“Kami teruja untuk menyaksikan setiap peserta melakukan perlumbaan terbaik mereka sambil memberi inspirasi kepada masyarakat di sekeliling dalam mengutamakan keshatan dan kecergasan mereka dalam kehidupan harian,” tambahnya.

Dengan semangat komuniti, kerjasama korporat yang kukuh, dan pengalaman larian yang luar biasa, IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 dijangka terus menjadi antara acara maraton paling dinantikan di Malaysia.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram