
NEW Pantai Expressway (NPE) Sdn Bhd dan Besraya (M) Sdn Bhd akan menutup sementara dua laluan lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), bermula pukul 1 pagi hingga 11 pagi pada 3 Ogos ini.
Langkah itu diambil bagi memberi laluan kepada penganjuran acara tahunan IJM Duo Highway Challenge Run 2025 yang dianjurkan oleh EC Pixels Asia Sdn Bhd dengan IJM Corporation Berhad sebagai penaja utama.
Ketua Pegawai Eksekutif kedua-dua lebuh raya, Ts Wan Salwani Wan Yusoff, menasihatkan pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan kesesakan atau gangguan perjalanan.
BACA LAGI: [VIDEO] Sasar 12,000 peserta, IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 seru pelari jadi ‘legenda’
BACA LAGI: Gabungan 2 lebuh raya bakal cipta sejarah baharu IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024
“Butiran mengenai laluan alternatif boleh diperoleh melalui media sosial rasmi NPE dan Besraya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, penutupan sementara ini telah mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang acara berlangsung, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak sebagai pengawal utama laluan, selain dibantu oleh pasukan pengurusan trafik serta kakitangan teknikal yang akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik.
Lokasi penutupan yang terlibat adalah seperti Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dari KM 1.8 di Bulatan Kewajipan (Subang Jaya) ke KM 11 ke arah Bangsar, dari Kuchai Lama Entrepreneurs Park ke Plaza Tol Pantai Dalam di kedua-dua arah.
Sementara di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) melibatkan persimpangan bertingkat Kuchai Lama sehingga ke Jalan Pandan 1 di KM 21.9 menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di kedua-dua arah.
"Semua pelari, penyokong serta penonton dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan tiba lebih awal pada hari acara. Maklumat lanjut mengenai larian ini boleh didapati di media sosial acara iaitu Instagram @ijm_highway_run dan Facebook @IJM Allianz DUO Highway Challenge Run," tambahnya.
Untuk maklumat lanjut dan bantuan kecemasan di kedua-dua lebuh raya, sila hubungi talian hotline Lebuhraya NPE: 1-300-88-1010, Lebuhraya Besraya: 1-800-88-0999 dan pihak Besraya dan NPE memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama semua pihak dalam menjayakan acara ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram