'Hari ini genap usiamu setahun, kita akan berpelukan semula di syurga', Aidil Zaquan, Ayu Raudhah titip doa buat arwah anak bongsu


  • Bonda
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Aidil dan keluarganya ketika menziarahi kubur Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees pada tarikh ulang tahun kelahirannya yang pertama. — Instagram/@zaqone_08

BEKAS pemain bola sepak negara, Aidil Zaquan Abdul Radzak dan isterinya, pelakon Ayu Raudhah Abu Bakar, mengenang ulang tahun kelahiran pertama anak bongsu mereka, Muhammad Aisy Al Rees yang meninggal dunia pada Februari lalu.

Aidil Zaquan menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya pada Sabtu, Aidil berkongsi luahan mengenai kerinduan terhadap anaknya yang disifatkan sebagai 'cahaya dari langit' yang ALLAH pinjamkan buat seketika.

“Selamat ulang tahun, anak syurgaku. Hari ini genaplah usiamu satu tahun. Tapi dunia ini sunyi tanpa tawa dan tangismu. Tiada pelukmu, tiada mata bundar yang menatapku,” tulisnya.

BACA LAGI: Tuntutan nafkah cecah RM70,750, ibu ini buktikan pentingnya simpan rekod supaya bekas suami tak culas

BACA LAGI: Fesyen denim kian dramatik, potongan 'slouchy' dan 'structured' kini trending

Aidil turut mengenang momen kelahiran Aisy yang mengubah hidup mereka sebagai ibu bapa.

“Sentuhan kecilmu dulu cukup untuk mengubah seluruh hidup daddy mummy. Setiap pagi daddy masih harap dengar suara Aisy menangis minta dipeluk. Tapi ALLAH lebih menyayangimu. Dia ambilmu pulang sebelum dunia sempat menyakitimu,” katanya.

Pasangan selebriti itu juga menitipkan doa agar anak mereka bergembira di syurga.

“Di taman syurga sana, mainlah dengan kawan-kawan kecilmu, bergembiralah di sisi para malaikat. Tunggu daddy dan mummy ya. Satu hari nanti, kita akan berlari berpelukan semula dalam syurga yang abadi, tanpa perpisahan lagi,” tambahnya.

Muhammad Aisy Al Rees merupakan anak ketujuh mereka dan dilahirkan pada 2 ogos 2024, namun meninggal dunia ketika tidur di rumah keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira pukul 1 petang pada 11 Februari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram