
KECENDERUNGAN baharu skuad bola sepak kebangsaan untuk membawa masuk pemain warisan dari luar negara ke dalam pasukan muda negara perlu dilakukan secara berhati-hati dan bukan berdasarkan nama besar semata-mata.
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli, langkah membawa pulang pemain muda seperti Reyes Shaqeel Emir iaitu tonggak akademi Queen Park Rangers (QPR) di England ke dalam skuad bawah 16 tahun (B-16) negara adalah sesuatu yang dibenarkan namun perlu dinilai dengan teliti dari sudut kualiti dan sumbangan sebenar pemain tersebut.
Untuk info, pemain yang beraksi di posisi tengah dan boleh beraksi pada beberapa posisi termasuk pertahanan kanan itu baru-baru ini memperkuatkan skuad B-16 bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia 2026 hujung tahun ini.
BACA LAGI: Ex coach anggap skuad B-23 bukti pembangunan bola sepak Malaysia jauh ketinggalan
BACA LAGI: Pestabola Merdeka serlah keunggulan bintang Cina dalam bola sepak Malaysia
“Kalau kita memandangnya secara positif, mengambil ataupun menggunakan kaedah pemain warisan memang dibenarkan dari peringkat umur apa-apa sekali pun.
“Tetapi kita kena pastikan bahawa pemain warisan itu mereka mempunyai kualiti yang lebih baik daripada pemain-pemain tempatan sedia ada. Yang itu kita kena pastikan betul-betul.
“Jangan kita terlalu ghairah sangat dengan pemain warisan sedangkan kualitinya tak ada jauh beza dengan kualiti pemain tempatan yang kita ada. Orang kata sekadar nama saja pun kita tak nak lah,” katanya kepada Majoriti mengulas ketibaan Reyes Shaqeel ke skuad cilik Malaysia.
Beliau tidak menafikan nama kelab seperti QPR merupakan pasukan ternama, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai tiket mahu mengambil pemain berkenaan tanpa melihat kualiti tonggak muda tersebut.
Tambah Pekan, pemain warisan yang diambil juga tidak seharusnya diberikan tempat secara automatik dalam skuad kebangsaan, sebaliknya perlu melalui proses penilaian yang adil dan profesional oleh barisan kejurulatihan.
“Kalau kita nak ambil pemain warisan luar negara, pastikan pemain itu memang terbukti. Dia mungkin dah ada nama di kelab luar negara dengan Queen Park Rangers tetapi tak tahu sama ada dia pemain yang regular ataupun dia hanya simpanan.
“Kita tak mahu ini jadi ‘slot automatik’. Kadang-kadang pemain yang beraksi di Eropah pun belum tentu boleh menyesuaikan diri dengan corak permainan di Asia Tenggara,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, beliau turut mengingatkan agar pengambilan pemain warisan tidak menyebabkan bakat tempatan diketepikan terutamanya di peringkat akar umbi seperti skuad remaja.
“Kalau hanya bawa beberapa pemain warisan dan mereka terbukti jauh lebih baik, tak mengapa. Tapi kalau hanya kerana nama, sedangkan kualitinya setara atau lebih rendah daripada pemain kita, lebih baik beri peluang kepada anak tempatan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa proses pembangunan bola sepak negara perlu seimbang dan tidak terlalu bergantung kepada ‘glamour’ atau prestij kelab luar semata-mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram