
KEJOHANAN Pestabola Merdeka bukan sahaja dikenali sebagai antara kejohanan tertua dan berprestij di Asia, malah menjadi pentas penting yang menyatukan rakyat pelbagai kaum menerusi semangat kesukanan, khususnya dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Diasaskan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, kejohanan ini membuka peluang luas kepada pemain tempatan untuk bersinar di pentas antarabangsa, termasuk pemain berbangsa Cina yang turut mencorakkan sejarah kegemilangan bola sepak tanah air.
Sepanjang era kegemilangannya, kejohanan ini menyaksikan penyertaan pasukan utama dari seluruh Asia dan dunia, sekali gus menjadikannya medan pendedahan dan pengiktirafan buat pemain Malaysia berbilang bangsa termasuk dari komuniti Cina yang membuktikan kehebatan serta kepimpinan mereka di padang.
Lebih membanggakan, beberapa bintang berbangsa Cina bukan sekadar mencipta nama, malah menjadi antara tonggak utama kejayaan skuad kebangsaan dalam menjuarai Pestabola Merdeka serta kejohanan lain bertaraf antarabangsa.
Antara tokoh lagenda yang terus dikenang hingga hari ini:
1. Chow Chee Keong
Chee Keong memainkan peranan penting ketika Malaysia menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka 1968. — Gambar Media Sosial
Penjaga gol sensasi yang mula mewakili Malaysia seawal usia 16 tahun ini, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Asia selama lima tahun berturut-turut oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 1966 hingga 1970.
Mendiang Chee Keong memainkan peranan penting ketika Malaysia menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka 1968, sebelum melebarkan karier profesional di liga Hong Kong bersama kelab seperti Jardine FC, HK Rangers dan South China AA.
Dikenali dengan gelaran 'The Asian Stainless Steel Gate' dan 'Crazy Sword' kerana ketangkasan luar biasa, dia terus menjadi ikon bola sepak negara hingga persaraannya pada tahun 1985.
Mendiang meninggal dunia pada 21 Februari 2018 kerana faktor kesihatan pada usia 69 tahun.
2. Wong Choon Wah
Choon Wah menjadi antara tonggak utama Malaysia ketika layak ke Sukan Olimpik Munich 1972. — Gambar/Agensi
Wong Choon Wah merupakan jeneral padang yang menjadi nadi kekuatan skuad negara di era 1970-an.
Choon Wah menjadi antara tonggak utama Malaysia ketika layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan membantu negara memenangi Pestabola Merdeka sebanyak tiga kali.
Choon Wah turut mengembangkan karier profesional di Hong Kong dan dianggap sebagai pemain tengah berpengaruh yang mempunyai visi permainan yang tajam serta kawalan bola yang mengagumkan.
Choon Wah juga merupakan bekas tonggak utama pasukan Selangor dan turut membawa kejayaan dengan menjuarai Piala Malaysia pada era 1970-an dan 1980-an.
Mendiang meninggal dunia pada 31 January 2014 akibat serangan jantung di kediamannya di Sri Petaling di Kuala Lumpur.
3. Soh Chin Aun
Chin Aun bertanggungjawab membantu Malaysia menjuarai dua gelaran Pestabola Merdeka. — Gambar/Agensi
Bekas kapten skuad kebangsaan ini dikenali sebagai 'Tauke' oleh peminat bola sepak tempatan.
Chin Aun mencipta sejarah apabila menjadi pemain Asia Tenggara pertama yang menerima pengiktirafan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan Piala Asia 1980 oleh AFC.
Sejak mengambil alih tugas kapten skuad kebangsaan dari Namat Abdullah pada 1975, Chin Aun bertanggungjawab membantu Malaysia menjuarai dua gelaran Pestabola Merdeka, dua pingat emas Sukan SEA dan kelayakan ke Sukan Olimpik 1980.
Pencapaian Chin Aun turut menenggelamkan pencapaian lagenda Negeri Sembilan, Mok Wai Hong yang menjuarai Pestabola Merdeka 1958, 1959 dan 1960. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram