
PERNAH mencetuskan fenomena dunia hiburan tanah air satu ketika dahulu, Mawi, 43, atau nama sebenarnya Asmawi Ani kekal relevan menjangkau dua dekad penglibatannya dalam industri.
Kariernya memuncak sejak bergelar juara Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005 hinggakan gaya fesyen rambutnya turut menjadi ikutan dan trend di kalangan remaja ketika itu.
Malah, anak jati Kulai, Johor tersebut turut menjadi rebutan syarikat produksi serta pelbagai produk berjenama yang berminat menjadikan dia sebagai duta.
Bukan sahaja menjadi kegilaan ramai, malah wajahnya pernah dicetak pada barangan eksklusif termasuk medali atau token yang menyerupai syiling, dijadikan koleksi peminat tegar sewaktu era kegemilangannya.
Hal itu membuktikan bahawa Mawi mengatasi rekod pencapaian bintang bola sepak Portugal, Christiano Ronaldo yang turut mempunyai syiling dengan wajahnya sendiri.
Menerusi laporan antarabangsa, kerajaan Portugal pada tahun lalu mengumumkan pengeluaran duit syiling khas dengan nilai €7 euro (RM33) yang menampilkan wajah Ronaldo.
Namun, tanpa disedari Mawi merupakan satu-satunya penyanyi tempatan yang pernah memiliki keistimewaan sedemikian satu ketika dahulu.
Syiling Mawi pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.
Difahamkan, medali tersebut pernah dikeluarkan secara terhad untuk tujuan promosi atau cenderamata dan kini menjadi item koleksi bernilai tinggi dalam kalangan peminat tegar.
Terbaharu, Mawi menerusi laman Instagram peribadinya meluahkan keinginannya untuk memiliki koleksi 'rare' tersebut dan sanggup membeli dengan harga yang tinggi.
"Nak tanya... siapa ada simpan Coin Mawi ni? Tolong DM saya ok, aya nak beli," ujarnya.
Sehingga kini, pelbagai barangan kenangan era Mawi World seperti poster, VCD konsert, kad top-up edisi khas, baju-T dan token wajah Mawi masih dijual dalam pasaran kolektor, termasuk di laman-laman e-dagang.
Syiling berwajah Mawi menjadi antara item paling sukar diperoleh dan ada yang mendakwa nilainya boleh mencecah ratusan ringgit seunit bergantung kepada keadaan dan keasliannya.
Biarpun industri muzik tempatan kini dibanjiri ramai pendatang baharu, Mawi terus aktif dalam pelbagai cabang seni lain termasuklah bidang pengarahan filem, penyampai radio serta program dakwah.
Namun, pengaruh dan kenangan era kegemilangannya masih segar dalam ingatan ramai rakyat Malaysia dan kekal sebagai simbol sebuah era hiburan yang sukar dimiliki artis zaman sekarang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram