
SERAMAI 60 individu, termasuk tiga pelajar yang disebut dalam media sosial sebagai Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan bahawa siasatan kini berada di peringkat akhir dengan semua keterangan utama telah dikumpulkan, termasuk daripada pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah.
“Setakat ini, seramai 60 saksi telah dirakam percakapan mereka, termasuk tiga individu yang tular di media sosial. Mereka juga merupakan pelajar di sekolah terbabit,” katanya.
BACA LAGI: NFA tak bermakna kes serangan asid Faisal Halim tidak boleh disiasat lagi — Azalina
BACA LAGI: Graduan perguruan tolak penempatan pertama boleh dikenakan tindakan disiplin — Fadhlina
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.
Menurut Jauteh, kertas siasatan berkenaan telah dibawa ke Bukit Aman bagi penelitian akhir sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Zara Qairina, 13, ditemui kira-kira pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, Sabah untuk rawatan lanjut.
Pelajar itu meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Polis tidak tolak kemungkinan unsur buli, siasatan lanjut diserahkan kepada Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kes itu, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.
"Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan buli berdasarkan kepada siasatan yang kita laksanakan.
"Sekarang ini siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran," katanya.
Pada masa sama, mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya kes itu membabitkan anak atau ahli keluarga kenamaan termasuk dirinya sendiri, beliau menafikannya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak sihat.
"Saya ingin tegaskan, tiada anak saya yang sedang atau pernah bersekolah di situ.
"Ini bererti ada warga maya yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini," katanya memaklumkan siasatan juga tidak menjurus ke arah dakwaan kononnya pelajar itu anak kepada individu berpengaruh.
Dalam pada itu, beliau menegaskan siasatan dalam kes itu dijalankan dengan penuh profesionalisme dan ketelusan, mengambil kira emosi pelajar yang menjadi saksi.
"Orang ramai mahu siasatan yang menyeluruh. Itu sebab kita ambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan ini. Membabitkan 60 saksi dan juga semua saksi ini pun kita tidak dapat ambil secara terus.
"Kita juga memikirkan bahawa saksi-saksi ini adalah pelajar di sekolah itu yang mungkin hanya melihat atau mendengar ataupun berkawan dengan mangsa," katanya. — The Star/STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram