
TIDAK meletakkan diri sebagai ‘ayam tambatan’, pemain warisan skuad bola sepak wanita negara, Dishanna Nagarajan Pillay tetap berazam menyumbang dua kekuatan utamanya iaitu fizikal dan atletik kepada pasukan kebangsaan.
Dibesarkan di kota Vancouver, Kanada, Dishanna merupakan antara wajah baharu yang menyertai skuad Malayan Tigress dalam usaha memperkasa barisan muda negara dalam bola sepak wanita.
Walaupun baharu bersama pasukan, pemain berusia 15 tahun tersebut menunjukkan keyakinan tinggi dan semangat juang luar biasa untuk menyesuaikan diri serta membuktikan kebolehannya.
BACA LAGI: Bakal berdepan juara LWN 2024, ada 3 sebab Sabah FC perlu awasi Steffi-Intan Serah
BACA LAGI: Layangan kad merah 'bunuh' momentum Sabah FA, Kelana United muncul juara LWN 2024
"Saya sangat bangga dapat mewakili Malaysia. Saya sangat menanti-nantikan berjumpa dengan ahli pasukan yang lain dan bermain bersama mereka. Ini satu peluang yang sangat bermakna buat saya.
"Saya sangat gembira dengan tahap pasukan di Malaysia. Mereka sangat bagus dan sesi latihan sangat kompetitif. Saya rasa kami boleh berkembang bersama sebagai satu pasukan," katanya kepada Majoriti.
Dishanna turut menjelaskan bahawa pengenalannya kepada bola sepak Malaysia adalah melalui ibu bapanya, khususnya bapanya yang sering menunjukkan rakaman perlawanan sukan berkenaan dalam talian.
Kesungguhannya bermain bersama Malaysia terus dibuktikan apabila pemain berkenaan mencatat gol antarabangsa pertamanya dalam aksi bersama skuad Malayan Tigress Bawah 15 (B-15) tahun.
Skuad B-20 wanita negara diundi dalam Kumpulan F bersama Jepun, Iran dan Guam dengan semua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, dari 6 hingga 10 Ogos ini.
Pemain yang beraksi di posisi penyerang itu mengakui kemahirannya semakin meningkat bersama skuad bola sepak wanita, selain turut mengakui banyak perkara yang perlu dipelajari terutama dari aspek teknikal.
"Semua orang sangat teknikal dan sangat baik di permainan. Saya menanti-nantikan meningkatkan kemahiran saya. Saya telah banyak meningkatkan diri sejak saya datang ke sini. Dan saya menanti-nantikan untuk meningkatkan lebih banyak dengan pasukan ini.
"Saya datang dari latar belakang yang lebih menekankan aspek fizikal dan atletik, jadi permainan di sini yang lebih teknikal adalah sesuatu yang baharu bagi saya. Tapi saya gembira dapat belajar daripada rakan sepasukan yang sangat hebat,” tambahnya.
Walaupun beraksi bersama pasukan di Kanada, Dishanna tidak mahu dibandingkan atau dilabel sebagai pemain terbaik, sebaliknya memilih untuk terus bekerja keras dan memberi tumpuan kepada perkembangan dirinya.
“Saya tidak pernah anggap diri saya sebagai yang terbaik. Saya masih banyak perlu tingkatkan. Tapi saya percaya kekuatan fizikal dan pengalaman saya dari Kanada akan memberi nilai tambah kepada pasukan," kongsinya.
Dishanna (tengah) bersama ibu dan ayahnya. — Facebook/HarimauMalaya
Ditanya tentang hala tuju kariernya, Dishanna berkongsi bahawa impian terbesarnya kini ialah untuk melanjutkan pengajian dan bermain bola sepak di peringkat kolej NCAA Division 1 di Amerika Syarikat.
Kehadiran Dishanna dalam skuad negara mengingatkan penyokong kepada bek Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga tonggak Harimau Malaya iaitu Corbin Ong susulan pemain itu juga membesar dalam persekitaran bola sepak Kanada.
Menurut Persatuan Bola Sepak Kanada, Corbing mula bermain seawal umur enam tahun untuk sebuah pasukan Diamond Blacks di Lynn Valley SA di kejiranan Utara Vancouver, selain bermain di Vancouver Whitecaps di Major League Soccer seawal usia 19 tahun.
Selepas berkelana di beberapa negara, khidmat Corbin dilamar skuad Harimau Selatan pada awal musim 2018 dan sehingga kini pemain itu masih memperkuatkan bahagian pertahanan kiri JDT.
Vancouver-based Dishanna Nagarajan Pillay has been called up by the Malayan Tigress U15 for the 2025 Emerging Matildas Championships. pic.twitter.com/yPICXtSf8u
— Harimau Abroad(@HarimauAbroad) July 9, 2025
Dalam pada itu, untuk info, Deshanna merupakan empat daripada 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan itu memiliki pengalaman beraksi di luar negara.
Mereka ialah Kanchenjeet Kaur Nanua (Miami Dade Sharks, Amerika Syarikat), Lauren Hoh Ruyi (Trinity College, Amerika Syarikat) dan Tegen Su-Yin Butler yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kehadiran Deshanna dan tiga orang pemain itu dijangka menjadi suntikan tenaga baharu kepada skuad Malayan Tigress Bawah 20 Tahun (B-20) menjelang pusingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 di Kuala Lumpur pada Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram