Kalau ada peluang, saya mahu melatih Selangor FC — Honda


  • Podium
  • Selasa, 10 Jun 2025

Legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda (kiri) menyuarakan hasrat untuk mengendalikan Selangor FC jika diberi peluang.

KEDUDUKAN Katshuito Kinoshi sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC dikatakan berdepan cabaran selepas legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda secara terbuka menyatakan minatnya untuk mengendalikan pasukan tersebut.

Perkara itu dikongsikan Honda dalam satu sidang media pada Selasa, yang mana dia secara berseloroh menyebut hasrat untuk menjadi pengendali Selangor FC sekiranya diberikan peluang.

"Kalau ada peluang, saya mahu melatih Selangor FC,” kata Honda sambil tersenyum pada Sidang Media Perlawanan Persahabatan antara Selangor FC dan Asia Warriors FC di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam, Selangor pada Selasa. 

BACA LAGI: Jangan tunggu lagi, 3 bintang warisan baharu wajar turun berdepan Vietnam

BACA LAGI: 'Saya tak peduli', Kinoshi enggan layan dakwaan Safuwan 'dibuang' Selangor FC

Legenda Jepun, Keisuke Honda antara bintang ternama yang dijangka membarisi Asia Warriors FC. Instagram/keisukehonda

Sementara itu, Honda meluahkan kegembiraannya kerana bakal menentang salah satu pasukan terbaik dalam Liga Malaysia.

Kata Honda, walaupun berdepan lawan yang jauh lebih muda dan kuat seperti Selangor FC, semangat untuk bersaing dan memberikan persembahan terbaik tetap menjadi keutamaan.

“Kami berasa terhormat dapat bermain menentang Selangor FC, salah satu kelab terkuat di Malaysia. Pada usia kami sekarang, sudah tentu ia bukan perkara mudah untuk meraih kemenangan ke atas mereka.

“Namun, yang paling penting adalah untuk menunjukkan bahawa kami tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk menang. Itulah mentaliti yang perlu ada dan saya percaya itu adalah bentuk penghargaan terbaik kepada para peminat bola sepak.

“Terus terang, saya tidak akan benar-benar menikmati perlawanan ini jika kami tidak berjuang untuk menang. Saya akan berikan yang terbaik dan mahu buktikan semangat saya kepada para penyokong.

“Tapi jangan salah faham, walaupun kami mempunyai semangat juang, realitinya kami juga sedar ada risiko tinggi untuk tewas dengan mudah.

"Malah, sekarang saya bercakap begini setelah hanya menjalani satu sesi latihan, mungkin saya sendiri akan cedera nanti. Tapi itulah hakikat dalam bola," tambahnya. 

Untuk rekod, Selangor FC akan menentang Asia Warriors FC dalam perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 27 Julai nanti.

Antara bintang ternama yang dijangka membarisi Asia Warriors FC ialah legenda Jepun, Honda, Baihakki Khaizan (Singapura), Anton Del Rosario (Filipina), selain dua bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dan Razman Roslan.

Pertemuan menarik itu dijangka menarik ribuan penyokong ke Stadium MBPJ, memandangkan ia bakal menjadi perlawanan istimewa menampilkan gabungan pemain generasi kini dan dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram