Shahril Arsat bagi 3 sebab Selangor rekrut pemain Thailand, cabar pemain muda jangan sesekali leka


  • Podium
  • Selasa, 29 Jul 2025

Picha (kanan) dan Kevin merupakan pemain import dari Thailand yang bermain untuk Selangor musim ini.

SELANGOR FC musim 2025/2026 membuat rombakan dengan membawa lima import baharu dan dua daripadanya merupakan pemain kelahiran Thailand iaitu tonggak tengah, Picha Autra serta Kevin Deeromram untuk memperkuatkan bahagian bek kiri.

Kehadiran dua pemain Thailand berkenaan membuatkan penyokong tertanya-tanya pendekatan yang diambil pengendali mereka, Katsuhito Konoshi tetapi pada sama menyambut baik penghijrahan Picha dan Kevin.

Selain penyokong, legenda Selangor iaitu Shahril Arsat juga menyokong langkah pasukan lamanya mendapatkan khidmat pemain dari Thailand bagi mengisi kuota Asean susulan tonggak negara jiran mempunyai kelebihan tersendiri.

BACA LAGI: Pernah tolak arahan MINDEF Singapura, graduan akademi Fulham kini dalam radar Selangor

BACA LAGI: Beri isyarat tiada bintang lokal baharu, Selangor FC fokus gilap bakat sedia ada

Menurut Shahril, pengambilan pemain luar khususnya dari Thailand adalah strategi yang wajar memandangkan negara berkenaan mempunyai ramai pemain berkualiti di rantau Asia Tenggara.

"Kalau pendekatan tu, saya rasa itu atas pilihan pasukan sebab mereka ada kuota Asenan. Jadi bila ada kemampuan pasukan dan mereka nak penuhkan kuota itu, saya rasa tak ada masalah untuk dapatkan pemain daripada Thailand.

"Kalau di bahagian Asean ini, kita tahu Thailand adalah antara yang memiliki banyak pemain-pemain yang berkualiti kan jika dibandingkan dengan Malaysia dan Singapura," katanya kepada Majoriti.

Shahril berpendapat bahawa pemain Thailand sering dilihat berada di tahap yang tinggi dari segi mentaliti dan disiplin, menjadikan mereka aset penting dalam memperkuatkan pasukan.

 

 

Dalam masa yang sama, pemain yang mewakili mewakili pasukan Selangor dari 1993-1998 itu menegaskan kehadiran pemain asing seharusnya menjadi pembakar semangat kepada pemain muda tempatan, bukan alasan untuk berputus asa.

"Kalau Asean, kita tahu Thailand antara yang banyak pemain berkualiti. Kadang dari segi fizikal pun lebih kurang sama saja dengan pemain kita, cuma mungkin dari segi kepantasan, kekuatan fizikal dan mentaliti mereka lebih baik.

"Ini sebenarnya cabaran buat pemain tempatan. Sebab kadang-kadang kita sendiri pun leka dengan kedudukan kita. Tapi bila ada pemain luar masuk, kita kena bersaing.

"Setiap pemain ada kelebihan masing-masing. Kalau kita mahu kekal, kita kena sentiasa memperbaiki diri," kongsinya yang pernah merangkul tiga Piala Malaysia sepanjang terbabit dalam sukan bola sepak sejak tahun 1993.

Legenda Selangor, Shahril Arsat.

Shahril juga percaya bakat-bakat dari Malaysia tidak jauh ketinggalan berbanding pemain luar, namun menegaskan keperluan untuk menanam mentaliti yang lebih kompetitif dalam diri setiap pemain muda.

"Pemain kita sebenarnya ada yang lebih baik daripada pemain luar. Tapi mereka mungkin lebih menyerlah kerana mentaliti mereka lebih kuat. Jadi, inilah masanya untuk kita buktikan yang kita juga mampu bersaing di tahap tertinggi," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram