
MUSIM baharu saingan Liga Malaysia menyaksikan beberapa kelab dari Kelantan akan mengambil bahagian, namun terdapat kekeliruan berlaku.
Kelab Liga A1, Kelantan Red Warrior (KRW) didapati mempunyai persamaan identiti dengan satu lagi pasukan iaitu Kelantan FC milik usahawan, Norizam Tukiman yang tidak lagi bermain mana-mana pertandingan.
Kekeliruan itu turut mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan badan induk itu meminta KRW menjelaskan situasi tersebut selewat-lewatnya pada Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Terus memukau bersama kelab baharu, bakat warisan Malaysia raih gelaran 'Chinaldo'
BACA LAGI: Tak kisah main divisyen bawah, bintang Liga M buktikan harga sebenar minit permainan
Kelantan FC milik Norizam Tukiman sudah tidak bertanding mana-mana kejohanan.
Mujur buat satu lagi kelab, Kelantan The Real Warriors (KTRW) tidak terpalit dengan isu ini dengan mereka tiada masalah untuk beraksi di Liga Super.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, kekeliruan yang berlaku sehingga FIFA mula masuk campur memberi isyarat jelas yang banyak pihak tidak dapat membezakan kedua-dua kelab itu.
Sebagai kelab yang sedang aktif, KRW wajar bergerak terlebih dahulu dalam tindakan menukar identiti mereka.
"Pada pandangan saya, kedua-dua kelab terutamanya KRW perlu jelaskan sebaik mungkin mengenai identiti mereka sehinggakan mendapat perhatian FIFA.
"Semua orang keliru termasuklah penyokong luar yang mengikut perkembangan ini, kekeliruan pastinya timbul kerana nama dan identiti seakan sama walaupun dikatakan berbeza.
"Oleh itu salah satu kelab, berkemungkinan KRW perlu menukarkan nama mereka dan tampil dengan identiti lebih segar untuk membezakan mereka dengan kelab yang satu lagi," kata Afiq kepada Majoriti.
Dalam masa yang sama, timbulnya keperluan bagi mana-mana kelab di Kelantan supaya keluar daripada bayang-bayang The Red Warriors (TRW) yang pernah menggegar bola sepak Malaysia satu masa dulu.
Sudah tiba masa untuk hadir dengan legasi baharu kerana tidak kira sama ada KRW, KTRW atau Kelantan FC, mereka membawa nama negeri itu sendiri.
"Tidak salah untuk bernostalgia tetapi mereka perlu mencipta identiti baharu untuk cuba menarik golongan peminat masa kini menyokong mereka dengan mencipta legasi tersendiri," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram