VI buru kejuaraan ketiga, namun waspada helah wakil Pulau Pinang


  • Podium
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Ketua pasukan MRSM Balik Pulau, Noerman Radzikin Suhaimi (kiri) bergambar bersama Kapten VI, Izz Dhani Mohd Firdaus (kanan).

 

 

JUARA dua kali Super Schools Rugby (SSR), Victoria Institution (VI) enggan sekadar hadir sebagai pasukan pilihan apabila turun menentang MRSM Balik Pulau dalam Grand Final SSR 2025, Ahad ini.

Berbekalkan pengalaman luas serta rekod pertahanan terbaik musim ini, VI kini dalam misi memburu kejuaraan ketiga selepas menjulang trofi pada edisi 2017 dan 2023.

Aksi kemuncak yang dijadual berlangsung pada jam 4 petang di Taman Ekuestrian Putrajaya itu bakal menjadi pentas buat VI mempertahankan reputasi sebagai kuasa tradisi kejohanan ragbi bawah 17 tahun itu.

BACA LAGI: SSR 2025: Fizikal, pengalaman VI tak gentarkan MRSM Balik Pulau

BACA LAGI: Ramai ingat isteri, tapi yang terlibat kemalangan mama saya — Khuzaimi Piee

Pengurus pasukan VI, Nik Mohd Sidek Nik Jaffar, mengakui barisan pemainnya tidak boleh memandang rendah cabaran MRSM Balik Pulau yang mara ke final dengan rekod bersih dalam hanya penampilan kedua mereka di SSR.

Beraksi di pentas akhir bukan perkara asing buat VI, namun itu bukan alasan untuk kami berasa selesa.

MRSM Balik Pulau membuktikan mereka bukan calang-calang pasukan," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Tambah Nik Mohd Sidek, semangat juang tinggi menjadi kunci kejayaan pasukannya sepanjang musim ini.

"VI pernah dianggap pasukan underdog, tetapi kami berjaya membuktikan keupayaan sebenar.

Misi kami bukan sekadar menambah koleksi trofi, tetapi memastikan legasi pembangunan ragbi terus kukuh," katanya.

Sebagai antara sekolah paling konsisten dalam arena ragbi remaja tanah air, VI dilihat membawa lebih daripada sekadar harapan kejuaraan mereka tampil sebagai lambang kesinambungan pembangunan akar umbi sukan ragbi negara.

Aksi kemuncak kategori bawah 17 tahun ini dijangka sengit dengan tumpuan kepada kekuatan taktikal dan disiplin kedua-dua pasukan yang terbukti ampuh sepanjang kejohanan.

Kejohanan edisi ke-10 ini menyaksikan juara akan membawa pulang trofi serta wang tunai RM 15,000, manakala naib juara menerima RM7,000 termasuk hadiah kemenangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram