[VIDEO] MCKK Premier 7’s: Juara bertahan tumpas, takhta kuasa ragbi dirampas 


  • Podium
  • Ahad, 06 Jul 2025

Antara aksi perlawanan menarik SSMP (berbaju putih) menentang SSTMI dalam aksi final Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7's 2025 pada Sabtu.

SEKOLAH Sukan Malaysia Pahang (SSMP) mencatatkan sejarah gemilang apabila menjuarai Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 buat pertama kali pada aksi yang berlangsung di padang keramat Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak. 

Dalam perlawanan akhir yang penuh debaran pada Ahad itu, SSMP berjaya menewaskan juara bertahan iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), sekali gus mengangkat piala juara.

Aksi kemuncak yang sarat dengan intensiti dan pertarungan fizikal menyaksikan SSMP mengatasi SSTMI 17-12, sekali gus merampas mahkota kejuaraan edisi ke-13 dan menamatkan penantian panjang mereka untuk bergelar juara buat kali pertama dalam sejarah kejohanan berprestij itu.

BACA LAGI: Kuasa besar ragbi menyerlah di MCKK Premier 7’s: 3 sekolah bersaing sengit rebut kejuaraan

BACA LAGI: MCKK Premier 7s: Tuan rumah, SMK Hosba antara pasukan raih kemenangan bergaya aksi hari pertama

Ketangkasan serta disiplin tinggi dipamerkan barisan pemain SSMP sepanjang kempen menjadi kunci kepada kejayaan mereka, dan prestasi cemerlang Muhammad Ammar Zidan Mohd Zaid yang turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Zaharuddin Alias membuktikan dominasi mereka bukan sekadar kebetulan.

Sementara itu, pasukan tuan rumah iaitu MCKK tidak mengecewakan penyokong setia mereka apabila menamatkan kempen dengan penuh bergaya, meraih kemenangan 14-7 ke atas wakil Jepun, Shizuoka Seiko Academy (SSA) dalam aksi Plate Final. 

SSMP mencipta sejarah apabila muncul juara baharu Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025.

Kemenangan berkenaan berhasil menebus kehampaan gagal mara ke pentas final utama, namun tetap membuktikan keampuhan MCKK di laman sendiri.

Bagi saingan tempat ketiga dan keempat kategori Cup, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) meneruskan aksi konsisten apabila mencatat kemenangan tipis 10-7 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KE VII). 

Manakala Kolej Vokasional Arau (KVA) pula muncul juara kategori Bowl selepas menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba (HOSBA) 24-21 dalam aksi penuh dramatik.

Pasukan MRSM Balik Pulau turut mencuri tumpuan apabila menjuarai saingan kategori Shield dengan kemenangan meyakinkan 19-0 ke atas Maktab Tentera Diraja (RMC), menutup kejohanan dengan nota membanggakan.

Edisi kali ini bukan sahaja memperlihatkan kebangkitan kuasa baharu seperti SSMP, malah terus mengekalkan tradisi kejohanan sebagai pentas melahirkan bakat muda ragbi negara yang berani, berbakat dan berwibawa.

Kejohanan MCKK Premier 7’s 2025 membuktikan ragbi sekolah menengah terus hidup dengan semangat juang luar biasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram