
KOLEJ Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai MCKK merupakan sebuah sekolah yang cukup cemerlang, baik dari segi akademik mahupun kokurikulum selepas mereka menampilkan aksi cemerlang dalam dunia sukan saban tahun.
Namun, seperti mana ramai ketahui, sekolah berpangkalan di Perak itu lebih sinonim dengan ragbi kerana status sebagai sekolah berasrama penuh memudahkan usaha mewujudkan persefahaman baik di dalam mahupun di luar padang.
Rekod mereka dalam pertandingan berprestij, Super School Rugby (SSR) sudah cukup untuk membuktikan pandangan itu kerana sejak diperkenalkan pada 2013, MCKK sudah layak ke empat perlawanan akhir yang merupakan catatan terbaik kejohanan.
BACA LAGI: PIBG MCKK selar tindakan keluarga murid tularkan kes buli dakwa burukkan imej sekolah
BACA LAGI: Super Schools Rugby 2025: 10 pasukan baharu antara 36 berentap bermula Mei ini
Cabaran hebat menanti MCKK yang diundi dalam Pool E bersama tiga sekolah hebat.
Daripada keempat-empat penampilan di pentas final itu, institusi pendidikan tersebut muncul juara sebanyak dua kali, iaitu pada 2014 dan 2018 dengan rekod itu cukup membanggakan.
Bagaimanapun, sejak kali terakhir menjulang trofi berkenaan pada empat edisi lalu, mereka tidak lagi berada dalam prestasi terbaik apabila tersingkir di pusingan suku akhir tahun lalu.
Kekalahan itu juga agak mengejutkan kerana mereka berdepan MRSM Balik Pulau yang merupakan pasukan baharu dalam SSR dengan pertembungan itu turut diadakan di MCKK.
Menyedari perkara berkenaan, pengendali MCKK All Black, Romli Saad berkata, kealpaan di atas padang perlu dielak kerana setiap pencabar, sama ada yang lama mahupun baharu hadir dengan cabaran berbeza.
"Peluang sebenarnya terbuka kepada semua kerana pasukan melakukan kesilapan, mereka akan terkeluar, itulah titik perubahannya. Berdasarkan undian, kita akan lakukan sehabis baik dalam peringkat kumpulan dan kemudian akan mengambil langkah demi langkah untuk takhta ketiga.
"Pada saya, situasi sekarang tidak seperti dahulu yang mana ada pasukan dominan. Seperti saya katakan, siapa lakukan kesilapan akan tanggung akibatnya," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan undian dilakukan semasa Majlis SSR 2025 Kickoff Showcase pada Khamis, MCKK diletakkan dalam Pool E di samping Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (Integomb) serta Kolej Sultan Abdul Hamid.
Pertembungan itu sudah tentu akan menarik untuk disaksikan kerana undian itu boleh dikatakan mencabar, lebih-lebih lagi antara MCKK dan SEMESTI yang sudah berkali-kali bertemu di pentas Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Perak.
Mengulas mengenai kekecewaan edisi lalu, Romli yang merupakan jurulatih ragbi sepenuh masa menegaskan penyingkiran itu membuka mata mereka supaya
"Kekalahan itu menjadi titik perubahan bagi pemain MCKK dan saya sendiri supaya mengurangkan kesilapan, ikut pelan seperti mana dirancang, laksanakan dengan baik dan insya-ALLAH, kejayaan akan turut hadir," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram