‘Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya’, Nurul Hidayah Zahid lawat anak mangsa tragedi Sungai Korok


  • Bonda
  • Rabu, 09 Jul 2025

Nurulhidayah (kanan) bertemu Putri Qisya yang merupakan satu-satunya ahli keluarga tinggal daripada tragedi Sungai Korok.

TRAGEDI menimpa sebuah keluarga yang enam ahlinya terkorban selepas kereta dipandu terbabas ke dalam Sungai Korok di Jitra, Kedah pada Isnin lalu cukup menyayat hati.

Ini kerana insiden tersebut menyaksikan anak sulung keluarga terbabit, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim yang tidak bersama ahli keluarga lain ketika kejadian kini hidup sebatang kara tanpa bantuan mana-mana pihak.

Menyedari nasib menimpa remaja berusia 12 tahun itu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan, termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang memilih untuk mengambilnya sebagai anak angkat.

BACA LAGI: Keadaan kesihatan Ahmad Zahid baik, keluarga jadi sumber semangat kembali pulih

BACA LAGI: Bapa ibarat 'kabel', peluang luaskan pengaruh, isi jawatan khas

Nurulhidayah menyatakan perasaan sebak terhadap insiden menimpa keluarga tersebut.

Tidak cukup dengan itu, pada Rabu, Putri Qisya turut dilawat Datuk Nurulhidayah Zahid yang merupakan anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan. Semoga Qisya membesar menjadi wanita solehah yang cemerlang, berjaya dan disegani, Thethe sayang Qisya," tulisnya.

Sebelum ini, Nurulhidayah menyatakan perasaan sebak mengenai insiden hiba berkenaan, lebih-lebih lagi kerana ibu kepada keluarga tersebut bernama Nurul Hidayah.

Disebabkan naluri keibuannya, Nurulhidayah segera datang bertemu Putri Qisya dan menyantuninya serta keluarga dan memuat naik hantaran dengan memperkenalkan remaja terbabit sebagai anak angkat baharunya.

Penemuan sebuah kereta di dasar Sungai Korok menjawab kehilangan enam sekeluarga itu.

Bantuan dihulurkan sudah tentu dapat meringankan beban dipikul pelajar tersebut yang sudah ditawarkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan menjadi anak angkat Mara hingga menamatkan pengajian di peringkat persekolahan.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan enam sekeluarga sejak Sabtu lalu selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman, Jitra yang tidak lama selepas itu kemudian ditemukan meninggal dunia dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di dalam Sungai Korok.

Mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri, Muhammad Azim Izat Ishak, 32 dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anaknya iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9, Hawa Adriana, 8, Anayla Huma’ira,7 dan Tuah Haidar yang baru berusia enam bulan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram