[VIDEO] Pernah belajar bahasa Melayu bersama Tae-su, bekas bintang Sabah FC umum gantung but


  • Podium
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Bekas pemain Sabah FC, Ko Kwang-min mengumumkan persaraan dari arena bola sepak. — Instagram/ko_km

 

 

BEKAS pemain import Sabah FC, Ko Kwang-min secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak profesional selepas lebih dua dekad berkecimpung dalam sukan itu.

Perkembangan itu diumumkan pemain berasal dari Korea Selatan berusia 37 tahun itu menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya baru-baru ini, yang turut disertai penghargaan khas buat penyokong setia Sang Badak.

Menurut Kwang-min, keputusan untuk bersara dibuat selepas mengambil kira keutamaannya terhadap keluarga serta merasakan ini adalah masa yang tepat untuk menamatkan kariernya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bintang JDT antara yang buat 'U-turn' tak lama lepas diumum berhijrah

BACA LAGI: [VIDEO] Affifudin Razali terpaksa lupakan Piala Raja Thai, Azlan Alias disebut jadi pengganti

 

 

 

 

“Selama dua setengah tahun saya telah memberikan segalanya kepada Sabah FC dan bermain tanpa sebarang penyesalan. Saya mahu teruskan sebagai pemain dan juga bantu pasukan, tetapi saya rasa ini masa terbaik untuk berhenti,” katanya.

Dalam pada itu, Kwang-min turut berterima kasih kepada penyokong Sabah FC yang sentiasa memberi sokongan sepanjang beliau bersama pasukan itu.

“Saya mungkin bukan pemain paling cekap, tetapi jika anda mengingati saya sebagai seorang yang rajin, saya akan terus bekerja keras dalam kehidupan saya yang seterusnya,” katanya lagi.

Kwang-min menyertai Sabah FC pada 2023 dan tampil sebanyak 61 kaps dalam semua kejohanan termasuk Liga Super dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Antara memori paling manis buat beliau di Sabah ialah ketika berpeluang mempelajari bahasa Melayu bersama rakan sepasukannya yang juga dari Korea Selatan, Park Tae-su.

Tae-su bukan sahaja menjadi rakan sepasukan, malah berperanan sebagai penterjemah dan pembimbing untuk memahami arahan taktikal jurulatih.

Antara perkataan yang dipelajari oleh Kwang-min ketika bersama Sabah FC ialah 'terbaik', 'Radu Tatap Radu'dan 'bagus'.

Lebih menarik, ketika diperkenalkan secara rasmi di hadapan penyokong Sang Badak buat kali pertama, Tae-su sering berada di sisi untuk membantunya menyebut beberapa perkataan Bahasa Melayu sebelum memberikan ucapan di hadapan penyokong Sang Badak.

Sebelum berhijrah ke Liga Malaysia, Kwang-min pernah beraksi bersama kelab ternama Korea Selatan seperti FC Seoul, Yangpyeong FC dan Hwaseong FC.

Beliau merupakan antara 13 pemain yang tidak disambung kontrak oleh Sabah FC selepas tamat musim 2024/25. Turut dilepaskan ialah Park Tae-su dan pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram